SERAMAI 200 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di sini menyertai Program My Indah 19 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, Program My Indah 19 merupakan program berterusan yang mensasarkan pelajar sekolah dalam menangani permasalahan penagihan dadah di Kedah.

“Program ini melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta sekolah yang terlibat.

“Ini juga merupakan pemangkin untuk mewujudkan perhubungan yang lebih berkesan antara masyarakat dengan polis terutama dalam kalangan pelajar,” katanya.

Mohd Ismail berkata, pada program terbabit, seramai 19 pegawai polis masuk ke setiap kelas Tingkatan Dua hingga Lima untuk menyampaikan ceramah berkaitan penyalahgunaan dadah, jenayah, trafik dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.

“Di samping itu, pelajar juga didedahkan dengan program saluran jenayah kepada polis dengan memperkenalkan Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“Dalam masa yang sama, turut berlangsung dialog antara Ketua Bahagian Pengurusan Polis Daerah Kubang Pasu, Asisten Superintendan Mohd Basirul Hapi Ibrahim bersama guru-guru sekolah berkenaan," katanya.

Menurutnya, dialog bertujuan bagi membincangkan isu dalam mempertingkatkan tahap disiplin dan pencegahan penglibatan pelajar sekolah terhadap dadah dan jenayah.