SEKUMPULAN kanak-kanak berusia 11 tahun mengambil tempat di pentas, tidak sabar menunggu membuat persembahan di hadapan rakan-rakan sebaya mereka.

Ada memegang gitar, ukulele, rekoder dan mikrofon dalam tangan, yang lain duduk di belakang piano dan set dram. Sesetengahnya pula menggunakan kerusi sebagai alat muzik apabila mereka mempersembahkan lagu hit berentak tarian ‘Uptown Funk’ gubahan Bruno Mars.

Rentak muzik rancak dimeriahkan tarian, nyanyian dan senyuman terukir di wajah kanak-kanak dan guru-guru yang membuat persembahan di hadapan penonton.

Tiada siapa sangka bahawa hanya beberapa bulan dahulu, kebanyakan pelajar ini bukan sahaja tidak boleh bermain muzik, bahkan guru mereka pula hanya mempunyai sedikit latar belakang pendidikan muzik.

“Sungguhpun Muzik subjek wajib, terutama di sekolah rendah, tetapi ia tidak dinilai setinggi mata pelajaran akademik. Sekolah-sekolah bukan sahaja kurang beri tumpuan kepada muzik, tapi juga tak sediakan pembiayaan secukupnya untuk sumber seperti kemahiran dan alat muzik.

"Pendekatan Musical Futures bertujuan merobohkan sekatan penyertaan dan pembabitan pelajar dalam muzik. Pendekatan mudah ini serasi dengan mana-mana kurikulum muzik sedia ada serta mewujudkan persekitaran pembelajaran kreatif dan seronok bagi pelajar, guru,” kata Ketua Latihan di Musical Futures, Anna Gower.

Berucap semasa bengkel di Alice Smith School di Kuala Lumpur, Anna menjelaskan, muzik bukan hanya satu keghairahan bagi kebanyakan anak muda, tetapi main peranan besar dalam membentuk identiti sosial mereka.

Bagaimanapun, menurutnya ini tidak terlaksana semasa pembelajaran dalam bilik darjah disebabkan beberapa faktor termasuk gaya pengajaran yang kaku dan ketinggalan zaman.

Musical Futures, satu pendekatan pendidikan muzik di luar kelaziman, sedang membawa transformasi ke dalam pengajaran dan pembelajaran muzik di sekolah-sekolah seluruh dunia.

Diasaskan pada 2003 di United Kingdom, Musical Futures membawa pendekatan pengajaran dan pembelajaran tidak formal ke dalam bilik darjah, menyuntik semula minat dan keghairahan muzik dalam kalangan pelajar muda.

Baru-baru ini, Musical Futures menganjurkan bengkel di Alice Smith School, Kuala Lumpur untuk berkongsi pendekatan pengajaran mudah dan inovatif dengan lebih 50 guru muzik dari seluruh Asia Tenggara.

Tarik minat

Jika sekolah-sekolah di luar negara menggunakan seluasnya pendekatan melalui muzik bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran kreatif dan menyeronokkan, bandingkan pula dengan sekolah kita di sini.

Sukakah anak-anak kita belajar Muzik di sekolah atau belajar sekadar memenuhi sukatan mata pelajaran telah ditetapkan? Adakah subjek Muzik hanya dipandang sebelah mata?

Berbalik tumpuan Musical Futures, pedagoginya terangkum, memberikan lebih penekanan kepada usaha menarik minat kanak-kanak melibatkan diri dalam muzik tanpa mengira kecekapan dan kemahiran mereka.

Teori dan teknik bermain diajar apabila mereka melangkah maju. Pembelajaran lebih mudah dilaksanakan dan berbentuk amali. Antara prinsip penting termasuk ‘D sebelum E’ (Do before Explain atau Buat sebelum Terangkan), ‘Belajar dengan Mendengar’, ‘Tunjukkan jangan Beritahu’ dan ‘Bunyi sebelum Simbol’.

Pendekatan baharu ini meletakkan pelajar dan cinta mereka kepada muzik sebagai tunggak pengalaman muzik.

Menggabungkan lagu-lagu hit terbaharu digemari pelajar, menggalakkan mereka bermain muzik secara berkumpulan dan mengajar kemahiran menggubah lagu, membuat persembahan dan penambahbaikan.

Ia membina kemahiran muzik dan celik muzik yang membuka jalan mereka menerokai dunia muzik. Pendek kata, ia membawa transformasi pendidikan muzik untuk abad ke-21.

Bagaimana pembelajaran subjek Muzik di sekolah kita pada masa kini?

Ikuti pandangan dan pendapat berhubung subjek Muzik di sekolah bersama GPS Bestari.com dalam Fokus minggu ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.