SHAH ALAM - Pelbagai pendedahan dan pengalaman baru dirasai 35 murid dan lima guru Sekolah Kebangsaan (SK) Temonyong, Langkawi sepanjang mengikuti lawatan sambil belajar pasca UPSR.

Guru Bahasa Inggeris selaku guru pengiring, Norshamsinar Ahmad berkata, berkata lawatan yang mengambil masa lima hari dua malam itu, menumpukan beberapa destinasi menarik untuk dikunjungi.

"Ada antara murid ini tidak pernah datang ke Kuala Lumpur dan Selangor. Kali ini, mereka diberi peluang merasai pengalaman sendiri dan secara tidak langsung dapat pendedahan baru dalam bidang penerbitan serta percetakan apabila dapat melawat Kumpulan Media Karangkraf.

"Selepas ini kami akan ke i-City, Putrajaya dan beberapa tempat lagi mengikut tentatif yang telah dijadualkan," katanya.

Katanya lagi, lawatan itu sebagai persiapan murid tahun 6 memantapkan jati diri mereka.

"Selain itu murid dapatlah menikmati suasana yang sangat berlainan dengan tempat mereka," katanya.

Sementara itu, murid tahun 6, Abdul Rahman berkata, dia teruja mengikuti lawatan berkenaan kerana banyak benda baru yang dilihat.

"Saya baru selesai menduduki peperiksaan UPSR. Seronok sangat sebab dah lama ulang kaji pelajaran. Kalau ada lawatan sekolah, saya pasti akan sertai lagi,"  katanya.