SHAH ALAM - Murid tahun 6, Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Lintah, Terengganu ini sangat teruja dapat melihat sendiri proses penerbitan buku ketika melawat premis Kumpulan Media Karangkraf Sdbn Bhd, di sini.

Wan Nurain Dayana Wan Mohd Kamaruzaman berkata, sebelum ini dia hanya lihat buku yang telah siap di kedai tetapi hari ini dia melihat sendiri bagaikan sebuah buku itu dihasilkan.

"Saya sangat gembira boleh lihat dengan lebih dekat bagaimana proses menghasilkan bahan cetakan dan saya sangat puas hati dapat melawat semua jabatan yang ada di Karangkraf.

"Saya memang minat baca buku, dapat tengok banyak buku yang diterbitkan Karangkraf juga beri satu kepuasan.. gembira sangat," katanya.

Wan Nurain Dayana salah seorang daripada 36 murid pasca UPSR yang menyertai rombongan lawatan sambil belajar bersama lapan guru pengiring pada 30 Oktober lalu.

Sementara itu, guru pengiring Zarini Yusof berkata, lawatan sambil belajar itu diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada murid kepada dunia kewartawanan dan percetakan.

"Kami pilih untuk datang ke Karangkraf kerana ini syarikat penerbitan terbesar milik bumiputera.

"Jadi kami bawakan anak murid kami untuk melihat sendiri bagaimana bahan bacaaan dihasilkan," katanya.

Katanya lagi, lawatan itu juga sebagai pendedahan awal mengenai alam pekerjaan seperti penulis, wartawan, jurufoto dan sebagainya kepada murid.

"Kami harap murid juga boleh belajar cara penerbitan buku yang mereka baca.. lawatan di sini sangat bagus dan bermanfaat.

"Mereka boleh lihat sendiri bidang kerja di sini seperti wartawan, editor, pereka grafik, jurufoto, juruvideo dan sebagainya.. ia juga sebagai pendedahan awal untuk murid tahun enam," katanya.

 

[LAGI GAMBAR DI SINI]