MAJLIS Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Bachok berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara baharu Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Kelantan ke-53, baru-baru ini.

Kontinjen tersebut meraikan kejayaan penuh bermakna apabila mengutip 22 pingat emas, 18 perak dan 22 gangsa untuk menyingkirkan penyandang juara, MSSD Kota Bharu Utara ke tangga kedua dengan 16 emas, 12 perak dan 10 gangsa.

Ia sekali gus menebus kekecewaan MSSD Bachok setelah sekadar menduduki tempat ketiga di belakang MSSD Kuala Krai dan Kota Bharu Utara, dalam edisi ke-52 tahun lalu.

MSSD Tumpat turut melakar kejutan apabila meraih tempat ketiga keseluruhan setelah mengumpul 13 emas, enam perak dan 17 gangsa.

MSSD Bachok menguasai peringkat umur 15 dan 18 tahun dengan memperoleh 19 emas, 15 perak dan 21 gangsa sementara MSSD Tumpat unggul dalam kategori 12 tahun dengan empat emas, dua perak dan tiga gangsa.

Sebanyak 11 kontinjen di seluruh negeri mengambil bahagian dalam enam kategori umur iaitu bawah 12, 15 dan 18 tahun (lelaki dan perempuan) menerusi 88 acara yang mempertandingkan 297 pingat.

Sementara itu, atlet MSSD Kuala Krai, Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dinobatkan Olahragawati Terbaik setelah meraih emas 5,000 meter jalan kaki dengan mencatatkan rekod baharu MSS Malaysia iaitu 25 minit 45.2 saat dan menggondol perak (3,000 meter terbuka).  

Joseph Wee Wei Sheng (MSSD Bachok) pula diumumkan Olahragawan Terbaik selepas merangkul emas dalam acara lempar cakera dengan memperbaharui rekod kejohanan 46.25 meter selain emas (lontar peluru).  

Majlis perasmian penutup disempurnakan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Muhammad Zahari Othman.

Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Abdullah Mat; Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Nubli Ab Latif dan Ketua Unit Sukan JPN, Muhammad Nuzulhan Muhammad Zain.