SEJAK dua dekad lepas, Maggi® telah menyediakan wadah bagi chef muda di rumah untuk menyerlahkan kemahiran memasak dengan menganjurkan cabaran memasak khas untuk mereka, sekali gus memupuk minat remaja untuk menyediakan sajian di rumah.

Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi, yang disokong oleh Kementerian Pendidikan dan jabatan pendidikan negeri, telah memberi peluang kepada beribu-ribu pelajar sekolah untuk menyertai pertandingan memasak di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, dan akan terus berbuat demikian pada masa mendatang.

Acara pada tahun ini bukan sahaja menandakan satu lagi ulang tahun – tetapi turut meraikan usaha sama Maggi dan Kementerian Pendidikan sepanjang tempoh 20 tahun ini yang telah membolehkan 301,500 bakat muda dari 13,060 sekolah menengah di seluruh Malaysia untuk menimba ilmu dan kemahiran tentang makanan, khasiat dan pemakanan sihat.

“Kami bersama dengan Kementerian Pendidikan dan Persatuan Dietitian Malaysia, berbangga dengan apa yang telah kami capai dalam tempoh 20 tahun lepas, yang membolehkan kami memberi pendedahan kepada begitu ramai anak muda selama ini.

“Kami berbesar hati untuk menyaksikan begitu banyak pencapaian mereka – hasil daripada minat, dedikasi dan komitmen mereka,” kata Pengurus Eksekutif Perniagaan, Bahagian Makanan, Nestlé (Malaysia) Berhad, Rosalyn Simba.

Bagi tahun ini, pertandingan akhir edisi ke-20 Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Maggi telah diadakan di SK Seksyen 9 Shah Alam, Selangor. Cabaran memasak tahun ini menyaksikan seramai 48 chef yang berbakat – juara serantau dari 16 negeri -  bersaing untuk merebut takhta kebangsaan. Setiap pasukan sekolah telah diberikan 90 minit untuk menyediakan sajian sihat berasaskan tema, “Sajian Istimewa Ibu Saya”.

Tema tahun ini memberi penghormatan kepada kaum ibu dan pelbagai peranan yang dimainkan mereka. Ibu-ibu bukan sahaja menjadi suri teladan dengan menyediakan pelbagai masakan di rumah, tetapi juga mempunyai pengaruh paling besar di dapur – daripada menurunkan resipi keluarga dan pengetahuan mereka tentang budaya masakan kepada mempengaruhi amalan pemakanan.

Cabaran Kotak Misteri Maggi pada peringkat seterusnya menjadi ujian terakhir – pasukan perlu menyempurnakan cabaran menggunakan ramuan segar yang disediakan oleh Maggi di acara tersebut. Markah diberikan antara lain untuk rasa, kemahiran memasak, kreativiti, pemilihan makanan dan nilai pemakanan.

Para pemenang diumumkan pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam. Acara tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Rosalyn Simba.

Tiga pasukan dengan markah tertinggi telah dipilih sebagai pemenang utama, manakala baki 13 peserta akhir menerima hadiah sagu hati.

Senarai Pemenang

Tempat pertama - SMK Sultan Alauddin, Kulai Johor

Bawa pulang hadiah tunai RM5,000, piala pusingan, piala pasukan, pingat, sijil dan hamper Maggi.

Tempat kedua – SMK Seri Bemban, Melaka

Bawa pulang tunai RM3,000, piala, pingat, sijil dan hamper Maggi.

Tempat ketiga – SM Sains Rembau, Negeri Sembilan

Bawa pulang tunai RM2,000, piala, pingat, sijil dan hamper Maggi.

Pemenang sagu hati bawa pulang tunai RM500, piala, pingat, sijil dan hamper Maggi.

Sekolah-sekolah yang memenangi tiga tempat teratas masing-masing juga menerima RM1,000 untuk Tabung Ekonomi Rumah Tangga manakala juara menerima bonus tambahan berupa lawatan ditanggung sepenuhnya ke luar negara untuk mengikuti program kulinari.

Untuk maklumat lanjut sila kunjungi www.maggi.com.my atau www.facebook.com/MaggiMalaysia.

 

 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.