PELAJAR sekolah agama 'kolot dan ketinggalan', 'tiada jaminan karier masa depan', 'habis belajar nanti hanya boleh jadi ustaz, ustazah', 'pelajar agama serupa pelajar sekolah pondok'?

Jika lebih 20 tahun lalu, itu mungkin persepsi kalangan kita. Hakikatnya golongan pelajar khususnya beragama Islam di negara kita kini kian merebut tempat belajar di sekolah berlatar belakangkan pendidikan agama.

Kesedaran kian meningkat kalangan penjaga dan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah ini. Yang pasti perubahan ini sejajar dengan senario 'terbuka mata' masyarakat kini supaya generasi kini mendapat ilmu secara holistik.

Pencapaian dan peningkatan kalangan pelajar agama kini kian mengagumkan, malah ramai juga mencapai kejayaan lebih cemerlang dan lebih baik dari aliran lain.

Pendek kata, pelajar dihantar ke sekolah agama ini bukan hanya bagi mengejar ilmu untuk mendapat kejayaan di dunia, tetapi juga akhirat.

Menambahbaikkan tawaran sistem pendidikan agama, Tahfiz Model Ulul Albab (Tmua) diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) mulai  2014. Tmua merupakan gabungan  Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan program Ulul Albab yang berasaskan pendidikan Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Daripada gabungan ini diharap lahirnya model insan hafiz 30 juzuk al-Quran berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, menjadi tempat rujukan serta menguasai pelbagai bidang.

Pendek kata, pelajar lahir dari sistem ini akan memenuhi keperluan guna tenaga profesional yang hafiz dan mempunyai pegangan agama kukuh. Ibu bapa mana tidak mahu anak terdidik dengan pendekatan ini?

Sudah pastilah sekolah tersedia dengan sistem pendidikan agama apalagi di bawah kementerian yang dijamin mata pelajarannya mengikut standard sepatutnya ini jadi 'rebutan'.

Tempat terhad

Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Mohamed Nor Salleh juga bersetuju peningkatan kesedaran ibu bapa menghantar anak ke sekolah berlatar belakangkan agama terutama Tmua.

Memberikan contoh, menurutnya dari empat Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan 11 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) melaksanakan Tmua, setiap tahun permohonan masuk ke sekolah Tmua khususnya di WPKL seperti di Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur (SMKAKL) kian bertambah.

"Sehingga 2015, sejumlah 3,000 pemohon (tingkatan 1) masuk ke SMKAKL. Ada mengisi permohonan masuk ke sekolah ini secara atas talian dan ada mohon sendiri. Tetapi mereka yang kita terima di sini hanya 150 pelajar sahaja.

"Sebab itu kita jalankan ujian saringan, kita mahukan pelajar berkualiti. Ini kerana pelajar ini akan hadapi dua situasi... menghafaz dalam masa cepat dan satu lagi perlu kuasai mata pelajaran akademik. Dua subjek berat serentak perlu stamina kuat," katanya.

Menurutnya, situasi peningkatan pelajar mahu masuk ke sekolah seumpamanya saban tahun jelas menunjukkan ibu bapa kian mempunyai kesedaran mengenai masa depan anak-anak mereka.  

Beliau berkata demikian kepada GPS Bestari.com sempena Majlis Anugerah Penghargaan Jurulatih Utama Sektor Pendidikan Islam, JPWPKL 2016, di  Institut Integriti Malaysia, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah JPWPKL, Datuk Foziah Buang dan Pengarah Eksekutif Yayasan Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta), Datuk Izudin Ishak.  

Turut diadakan pada hari tersebut adalah majlis Anugerah Khas Tahfiz Muda Ulul Albab kepada enam pelajar SMKAKL yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam masa tidak sampai tiga tahun.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.