SHAH ALAM - Seramai 256 pelajar tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24 (2) dirai pada majlis gilang gemilang sempena tamat belajar.

Majlis anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah yang dinamakan Majlis Makan Malam Amal dan Apresiasi Murid Tingkatan 5 SMK Seksyen 24 (2) 2018 itu berlangsung pada pukul 8 malam, di Dataran Jauhari, 10 November lalu.

Pada majlis tersebut, dua pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang mengikut aliran.

Mereka ialah Haziq Aiman Azhan dari 5 Sains 1 dan Syahmina Nadiah Khalid 5 Gerontologi 1.

Sebelum ini, Haziq Aiman pernah menerima beberapa anugerah seperti Tokoh Pelajar Cemerlang PT3 2016, Murid Terbaik Tingkatan 4 2017 dan Sijil Merit Kuiz Kimia Kebangsaan 2018 manakala Syahmina Nadiah merangkul anugerah Pelajar Terbaik Tingkatan 4 Mata Pelajaran Gerontologi dan Perniagaan 2017, Pelajar Terbaik 4 Gerontologi 1 2017 dan Juara Lompat Tinggi 2017-2018.

Kedua-duanya menerima sijil penghargaan, piala dan jambangan bunga.

Selain meraikan pelajar tingkatan 4 yang akan menamatkan alam persekolahan, program berkenaan juga turut mengumpul dana untuk baik pulih peralatan dan bangunan sekolah serta menambah dana PIBG 2018 untuk keperluan menjayakan program sekolah.

Majlis dirasmikan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Shamsuddin Drani mewakili Khalid Abd Samad yang tidak dapat hadir.

Turut hadir, Pegawai PPD Petaling Perdana, Abd Ghaffar Bakar, YDP PIBG, Datuk Amizar Abu Adam dan Pengetua, Normawati Tajuddin.

Dua pegawai polis iaitu Inspektor Muhammad Syahrul Zulkeflee (Pegawai Perhubungan Sekolah) dan Sarjan Azreen Shah Alias (Penolong Pegawai Perhubungan Sekolah) juga turut memeriahkan majlis.

Sepanjang program berlangsung, hadirin dihiburkan dengan persembahan pelajar seperti persembahan angklung dan tarian.

Turut dilancarkan penubuhan Alumni SMK Seksyen 24 (2).  

Sementara itu, Amizar turut memberi penghargaan kepada guru yang telah berjaya mendidik pelajar hingga berjaya.

"Tanpa jemu dan putus asa, mereka bersusah payah mengajar dan mendidik anak kami.

"Saya harap, guru dapat halalkan segala ilmu yang telah diberi kepada pelajar tingkatan 5, semoga anda semua dapat menjawab peperiksaan SPM dengan baik dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk berjaya pada masa akan datang," katanya.

 

[ LAGI GAMBAR BERKAITAN: SMK SEKSYEN 24 (2) ANJUR MAKAN MALAM UNTUK RAI PELAJAR TINGKATAN 5 ]