PETALING JAYA - Maahad Tahfiz Nahdatul Ulum memerlukan dana sebanyak kira-kira RM350,000 bagi menyiapkan kompleks baharu di Jalan SS9/1, Sungai Way yang sedang dalam pembinaan.

Mudir, Muhamad Hafizudin Muhamad Shukri berkata, pembinaan itu merangkumi sebuah bangunan yang mempunyai asrama yang mampu memuatkan 40 orang pelajar, bilik warden, ruang pengajian, rumah mudir dan rumah guru.

Menurutnya, kompleks itu berada dalam peringkat 30 peratus pembinaan dan dijangka akan disiapkan pada September tahun ini bagi menempatkan pelajar sedia ada dan baharu untuk sesi pembelajaran.

“Maahad tahfiz ini telah ditubuhkan sejak tahun 2014 dengan menyewa rumah di kawasan yang sama, tapi terpaksa berpindah ke tempat baru kerana pemilik ingin menggunakan rumah itu.

“Ruang sedia ada juga juga sangat terhad termasuk asrama, kelas pengajian, dapur dan ruang makan, tak mampu untuk tampung sekiranya berlaku pertambahan pelajar,” katanya.

Tambah Muhammad Hafizuddin, idea mewujudkan kompleks baharu itu yang terletak kira-kira 400 meter dari Masjid SS9, berdasarkan hasil sumbangan pewakaf tanah dan sumbangan orang ramai.

“Alhamdulillah, kita terima hasrat pewakaf, Datuk Rosal Azimin Ahmad dan keluarganya untuk menjadikan tanah ini sebagai tempat membina Kompleks Maahad Tahfiz Nahdatul Ulum yang baru.

“Dengan bantuan dana dari mereka sekeluarga dan orang ramai, kita sudah siapkan bahagian lantai dan sebahagian kompleks ini. Kekemasan, tingkap, pintu, peralatan elektrik dan beberapa kemudahan lain masih belum dapat disiapkan,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar orang ramai terus menyumbang bagi mengumpul dana untuk menyiapkan kerja pembinaan memandangkan permintaan tinggi terhadap kemasukan pelajar baharu.

Orang ramai yang berniat untuk menyumbang kepada pembinaan maahad tahfiz ini boleh menyumbang melalui nombor akaun Bank Islam Maahad Tahfiz Nahdatul Ulum, 12065010051816, atau menghubungi Hafiz, 014-6167522.