APABILA dikesan mempunyai kanser, pesakit dirujuk kepada klinik surgery. Pakar bedah mengambil tugas mengeluarkan sedikit sample dari tumor untuk mengesahkan ia benar-benar kanser.

Selepas itu akan dirujuk ke klinik onkologi. Di sini, berdasarkan laporan utlrasound, mamogram, biopsi dan CT scan, doktor onkologi akan menentukan rawatan seterusnya.

Sewaktu laporan biopsi dan CT scan diterangkan oleh doktor kepada saya, saya amat berharap tidak perlu rawatan kemoterapi. Memang saya sangat berharap. Tapi janji ALLAH bukan begitu.

Kenapa saya berharap demikian? Jawapannya tak lain kerana sebelum mendapat maklumat daripada Mr Google pun, saya sudah dimomok-momokkan dengan ngerinya kemoterapi oleh pelbagai pihak, iaitu bahan bacaan saya sendiri di blog-blog pesakit kanser yang lain dan cerita ‘rakan kepada rakan’ yang pernah melalui saat-saat kemoterapi.

Malah, semasa saya pertama kali saya menghebahkan sakit yang saya hidap ini kepada sahabat dan kenalan, ada yang memberi nasihat begini:

“Jangan teruskan rawatan hospital. Jangan benarkan doktor lakukan kemoterapi. Pergilah cari cara lain...”

Bila saya tanya, pernahkah dia sendiri menjalani kemoterapi, dia sekadar diam. Tiada jawapan.

Apakan daya. Kanser saya di tahap empat. Kemoterapi adalah syarat rawatan untuk saya sebelum menjalani pembedahan. Perlu melengkapkan kemoterapi sebanyak enam kali, kemudian menjalani pembedahan dan disusuli radioterapi sebanyak 15+8 kali. Fuhhhh...

Tak baik mengeluh! Ada pesakit lain yang perlu menjalani kemoterapi dan radioterapi lebih banyak berbanding saya.

Kemoterapi merujuk kepada penggunaan ubat-ubatan khusus untuk melawan dan memusnahkan sel-sel kanser yang sedang merebak dengan cepat dalam badan. Ubat ini akan memasuki sistem pengaliran darah dan pergi ke seluruh badan untuk membunuh sel-sel kanser.

Bagi kes saya, rejimen FEC akan digunakan sepanjang enam pusingan kemoterapi.

Rejimen F adalah 5-fluorouracil (tiada warna), E merujuk kepada Epirubicin (warna merah seperti air strawberi) dan C pula Cyclophosphamide (tiada warna). Ketiga-tiga rejimen ini dalam bentuk cecair yang diberi bersama dengan 2 liter saline (drip air).

Pada pagi 3 Februari 2016, saya ke hospital untuk pengambilan darah dan kemudian sesi perjumpaan dengan doktor.

Memandangkan esoknya adalah kemo pertama saya, sesi education bersama staff nurse turut diadakan. Sesi ini dilakukan di bilik kemo. Di situ, saya melihat beberapa pesakit lain yang sedang menjalani kemoterapi. Ada yang baring ada yang duduk.

“Saya berasa seolah-olah saya dipaksa duduk di atas kerusi elektrik dan seterusnya badan saya dialirkan dengan racun.” Saya teringat kata-kata ini yang saya baca di satu blog pesakit kanser.

Ah! Saya tidak akan membenarkan kata-kata negatif sebegini melemahkan semangat saya untuk berjuang.

Sebelum ini saya tidak takut ambil darah. Walaupun saiz badan saya agak besar, namun selalunya pembuluh-pembuluh darah saya senang kelihatan.

Tapi selepas kemoterapi kali kedua, segalanya berubah. Saya jadi takut bila jururawat mencucuk jarum. Ini kerana salur darah saya semakin sempit. Walaupun cucukan dibuat di tempat yang betul, namun darah tidak mahu keluar. Maka akan berlaku try and error mengakibatkan sakitnya terasa hingga ke tulang rusuk.

Saya jalani 1st cycle chemotherapy pada 4 Februari dan sejam sebelum kemo saya perlu makan ubat tahan muntah. Kemudian, tangan saya dicucuk lagi untuk masuk branula set. Saya diberi lagi ubat tahan muntah dalam bentuk cecair pula.

Selama 2 jam setengah saya duduk menanti kesemua rejimen dan air disalurkan ke dalam tubuh badan saya.

Cycle bermaksud kemo sehari dan rehat tiga minggu. Selepas tiga minggu, perlu menjalani kemo kedua. Begitulah seterusnya. Tiga minggu adalah masa diperlukan untuk membina kembali sel-sel yang sudah diserang dengan rejim FEC.

Kesannya... mual? Tidak. Loya? Tiada. Muntah? Pun tidak.

Saya cuma kerap kencing. Dan kencing saya merah. Sama seperti warna rejimen Epirubicin yang dimasukkan ke tubuh saya.

Namun apa jua keadaannya, saya sudah pasakkan dalam dada dengan penuh semangat. Saya akan lawan sakit ini. Saya akan menentangnya. Tidak akan mengalah!

Anak-anak semua, ingat... dalam perjuangan, tidak kira untuk apa sekalipun, sama ada menentang sakit, berjuang untuk meraih kejayaan dalam pelajaran mahupun hidup, jangan pernah mengalah. Kuatkan semangat. Bulatkan tekad. Berusaha dan berikhtiarlah. Kemudian istikharah kepada-Nya. Biar ALLAH menentukan hasilnya.

Ingat. Fight. Never give up!

Apa pun ini baru 1st cycle. Bagaimana pula seterusnya nanti?

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENJADIKAN pemain kriket Pakistan sebagai idola, bakat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting ini semakin menyinar dalam sukan itu.
  • MENYEDARI kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru digalakkan mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses PdPc.
  • MENJADI kebiasaan bagi warga pendidik untuk menulis nota di papan hitam atau papan putih apabila bermulanya proses pembelajaran.
  • ANDA mahu jadi seorang pelajar yang cemerlang? Tetapi anda buntu atau tidak tahu cara yang terbaik untuk mencapainya?
  • USAHA keras 565 pelajar tingkatan satu hingga tiga dan 100 warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini selama lima tahun membuahkan hasil apabila menerima pengiktirafan International Baccalaurreate (IB) World School.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.