KOTA TINGGI - Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta, ahli perniagaan dan individu yang berkemampuan diajak bersama-sama menghulurkan dana untuk membangunkan Kompleks Pendidikan Agama Yayasan Al-Rahmah sebuah institusi pendidikan agama menengah yang ditadbir oleh Yayasan Al-Rahmah, sebuah NGO berdaftar beribu pejabat di Songkat Veal Vong, Wilayah Kampong Cham, Kemboja.

Yang Dipertua, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) Johor, Mohamad Mahadi, berkata, serentak program Kembara Korban dan Akikah Kemboja pada September lalu MPSM dan Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah (PEKDIS) Johor berjaya mengumpul dana sebanyak RM290,382 untuk disumbangkan bagi pembangunan Kompleks Pendidikan Agama tersebut.

Beliau yang juga Pengetua Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, berkata dana tersebut adalah sumbangan daripada warga pendidik daripada semua sekolah menengah negeri Johor termasuk pelajar, guru dan staf.

Menurutnya, jumlah tersebut juga bertambah sekali ganda berbanding tahun lalu, iaitu sebanyak RM112,968.

“Di samping menyempurnakan ibadat korban dan akikah. Kami juga secara berterusan memberi bantuan pendidikan bagi memberi peluang anak-anak Islam Kemboja belajar agama dalam suasana lebih selesa, terurus dan berkesan,” katanya.

Setiausaha PEKDIS Johor, Mohd Najib Nadzar, berkata berikutan sambutan menggalakkan daripada warga pendidik Johor dalam menjayakan misi tahun ini, PEKDIS bercadang untuk meluaskan kerjasama tersebut dengan membabitkan Majlis Guru Besar (MGB) Johor untuk tahun 2018.

Dengan gabungan 1,182 sekolah rendah dan menengah di Johor, beliau percaya jumlah bantuan pendidikan yang akan disumbangkan untuk Kompleks Pendidikan Agama Yayasan Al-Rahmah boleh mencecah sehingga RM500,000.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Al-Rahmah, Mahir Yusof berkata sejak tahun 2011, Yayasan Al-Rahmah mengurus tadbir 10 Kelas Agama yang beroperasi di masjid-masjid dalam kampung terpilih di mana seramai 200 kanak-kanak belajar al-Quran dan bahasa Arab dengan bimbingan 10 guru.

Bagi dua Sekolah Rendah Agama yang terletak di Wilayah Kampong Cham dan Wilayah Tebong Kemam, yayasan tersebut mengurus tadbir seramai 175 pelajar dengan bimbingan 11 guru.

Di sekolah tersebut, pelajar tahun satu hingga tiga belajar al-Quran, bahasa Arab dan penulisan, manakala pelajar tahun empat hingga enam belajar al-Quran, bahasa Arab, fiqah, tauhid, hadis, sirah dan penulisan.

Kecuali hari Ahad, mereka mula belajar dari jam 1 hingga 5 petang selepas tamat belajar sekolah awam, kemudian dan menyambungnya selepas solat Isyak.

“Sehingga sekarang, kami bersyukur kerana dalam serba kekurangan dari segi kemudahan prasarana, buku, kitab agama dan alatan mengajar. Anak-anak Islam Kemboja mempunyai minat yang tinggi untuk belajar al-Quran dan ada yang sudah boleh menghafaz quran sehingga juzuk 10, 15 dan 20.

“Selepas tamat tahun enam, besar harapan kami agar mereka dapat menyambung belajar ke peringkat menengah. Kompleks Pendidikan Yayasan Al-Rahmah yang sedang dalam pembinaan adalah peluang dan wadah terbaik untuk mereka menyambung belajar.

“Sejak dibina pada Mei tahun lalu, bangunan kompleks dibina secara berperingkat bergantung dana dan sumbangan yang diterima. Terima kasih kepada PEKDIS dan MPSM Johor kerana memberi sumbangan yang besar setiap tahun,” katanya.

Mahir berkata, untuk operasi pengurusan dan pentadbiran 10 Kelas Agama dan dua Sekolah Rendah Agama, yayasan itu membelanjakan kira-kira RM56,000 setahun termasuk bayaran insentif guru-guru manakala yuran yang dikenakan kepada pelajar pada kadar rendah, buku-buku dan kitab digunakan pelajar difotostat.

Kompleks dalam pembinaan dan akan beroperasi April 2018 itu terletak di atas tanah seluas 5 hektar dalam Kampung Senjumren, Wilayah Kampong Cham, 200 kilometer dari bandar Phnom Penh.

Apabila siap, kompleks itu mempunyai kemudahan enam bilik darjah, pejabat, kantin, perpustakaan, asrama, rumah guru, gelanggang sukan, dewan serbaguna dan surau. Bangunan asrama dirancang pembinaannya untuk menempatkan seramai 700 pelajar.

Untuk memastikan Kompleks Pendidikan Agama Yayasan Al-Rahmah dapat disiapkan dan operasinya bakal memberi kemudahan pendidikan agama yang sempurna kepada anak-anak Islam Kemboja, pihak yayasan mengalu-alukan sumbangan dan bantuan daripada yang sudi membantu. Pengurusan Yayasan Al-Rahmah boleh hubungi di talian +855977339334 dan +855975925946.