BERA - Lebih 100 kanak-kanak Tabika Kemas Sri Buntar, Bandar Kerayong dan IPD Bera mengunjungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera bagi mendekati anggota polis yang bertugas di situ.

Guru Tabika Kemas Bandar Kerayong, Sharifah Shasha Faradila Syed Zainal Abidin berkata, aktiviti itu merupakan aktiviti tahunan bagi menyuntik semangat kanak-kanak untuk menanam rasa minat dan tidak takut dengan anggota beruniform seragam itu.

“Ada yang suka apabila melihat jentera polis seperti motosikal atau kenderaan yang bersiren, tetapi takut apabila berdepan dengan anggota polis.

“Jadi, menerusi lawatan ini, sekurang-kurangnya dapat memberikan peluang kanak-kanak mengenali cara kerja anggota polis,” katanya.

Pada kunjungan itu, kanak-kanak terbabit dibenarkan memasuki bangunan IPD Bera untuk melihat anggota bekerja, selain melihat kawasan-kawasan tertentu yang terdapat dalam IPD.

Sementara itu, Guru Tabika Kemas Sri Buntar, Hazlina Hamzah berkata, ramai yang teruja untuk ke IPD kerana mereka tahu akan dapat menaiki kenderaan polis.

Katanya, melalui pendedahan seperti ini, akan dapat mengurangkan anggapan yang tidak baik terhadap anggota polis.

“Selalu, ada sahaja ibu-bapa menakut-nakutkan anak mereka dengan menggunakan polis. Kita mahu ubah persepsi ini.

“Sepatutnya, naluri mereka perlu ditanam dengan rasa kecintaan terhadap tugas kepolisan yang berperanan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam,” kata beliau.

Menurutnya, usaha itu akan dilakukan berterusan supaya kanak-kanak ini tidak hilang minat terhadap kerjaya beruniform, memandangkan semua pekerjaan yang beruniform merupakan pekerjaan yang murni.