Bismillahirahmanirahim

Hari ini saya mahu menulis sebuah catatan yang sepatutnya sudah mula saya karangkan 11 bulan lalu.

Kesibukan mengurus kehidupan, menjadikan saya tidak sempat melakukannya. Dan dengan lafaz bismillah, dalam hati tenang, tiada dihimpit resah atau keserabutan tentang apa yang melanda diri dan membendung kotak fikiran, hari ini saya melakukannya.

Catatan ini untuk anak-anak saya. Anak-anak yang masih kecil. Yang sedang membesar. Moga catatan ini dapat mereka jadikan semangat terus positif dalam menempuh hari mendatang walau saya sudah tiada. Walau apa rintangan dihadapkan.

Catatan ini juga untuk semua anak-anak di luar sana. Moga apa yang saya karangkan dapat dijadikan pendorong ketika berasa lemah, pemangkin ketika terasa longlai dan ‘ubat kuat’ ketika terasa sudah tidak berdaya.

Saya punya lima cahaya mata. Anak sulung saya, ‘Atif Alifah Ismail baru berusia 11 tahun. Kedua, ‘Atirah Haniyya (10), diikuti Aufa Hanani (8), Afrah Sumaiya (7) dan As’adah Ilhami (3).

‘Atif anak pendiam. Lebih suka bersahabat dengan buku. Banyak masa dihabiskan berkurung dalam bilik.

Tapi, ‘Atif juga suka ke dapur. Bukan setakat suka makan, tapi ‘Atif juga suka ‘cuba-cuba’ memasak. Jika dia nampak saya sedang menggulai, baking atau masak apa saja di dapur, dia akan sibuk tanya bahan-bahan yang saya masukkan ke periuk. Lebih-lebih lagi masakan yang dia suka. Ada kalanya, dia akan catat apa bahan yang saya sebut untuk masakan tersebut.

“Nanti kakak nak cuba buat sendiri lah...” itu selalu ‘Atif ucap.

Anak kedua saya, Haniyya, banyak cakap. Kalau duduk depan saya, mulutnya tak pernah diam. Ada saja mahu diceritakan. Semua cerita di sekolah akan disampaikan. Cerita tentang cikgu kelas, cikgu Bahasa Melayu, cikgu Matematik, tentang kawan-kawan, adik kawan, abang kawan kakak kawan dan segala-galanya.

Haniyya juga garang. Suka mengomel. Adik-adik selalu jadi mangsa omelannya. Jika boleh diukur, kesalahan adik-adik secawan, marah Haniyya pada mereka sebaldi.

Bila marah, suara Haniyya nyaring. Nadanya cukup keras. Tapi adik-adik tak pernah takut...hehehe. Dia juga cerewet.

Ada ketikanya, bila saya nak cepat, kain sekolahnya hanya sebelah bawah saya gosok dengan teliti. Bahagian atas, ala kadar. Bila Haniyya pakai, nampak dua ‘rupa paras’ yang berbeza, mulalah mulutnya berdecit.

“Ishh...ishh...ishh...” kuat kedengaran.

“Ok lah tu, yang atas tertutup dengan baju. Orang tak nampak,” saya  akan balas ‘decitnya’ dengan ayat ini.

Haniyya boleh duduk ‘berjam’ depan cermin. Berdandan kemudian entah        

berapa kali ‘bersuluh’ depan kaca jernih itu. Senang cerita, bab melawa...Haniyya nombor satu!

Bagi saya, Aufa agak istimewa. Kenapa? Aufa lahir pada 6 Mac 2008. Manakala Sumaiyya pada 7 Mac 2009. Dengan jarak kelahiran yang berselang hanya setahun ini, saya mengaku ada ketikanya tumpuan saya pada Aufa kurang semenjak Sumaiya dilahirkan.

Jadi, Aufa membesar menjadi anak yang selalu ingin menagih perhatian.

Dia agak buas. Agresif dan super aktif. Kekadang melebihi kanak-kanak lelaki. Aufa akan panjat pagar, panjat dinding, panjat almari dan apa saja tempat tinggi. Aufa juga suka menyelongkar. Dia akan taburkan barang tempat diselongkar. Tidak akan dimasukkannya semula. Bersepah begitu saja. Tak tau apa yang dicari.

Aufa akan buat perkara yang kita tidak suka. Bila ditanya kenapa dia buat begitu, dia akan renung mata saya tanpa berkelip. Ada air yang berkaca-kaca tapi tidak akan ada yang dititiskannya.

Benar. Aufa adalah universiti kesabaran saya. ‘Ujian dan tesis’ yang Aufa suakan kepada saya benar-benar menduga sama ada saya berjaya mendapat ijazah ketahanan emosi atau tidak.

Namun, Aufa anak yang sangat rajin. Jika pinggan-mangkuk penuh di sinki, dia akan membasuhnya. Jika nampak lantai berhabuk, kertas sana-sini, dia akan menyapu. Tanpa disuruh, dipaksa.

Malah, jika saya memanggil nama lain untuk bantu sesuatu, dia pantas akan hampir. Mahu mengerjakannya.

Sumaiya? Punya keyakinan diri yang amat tinggi, namun sikap malunya juga setanding tahap keyakinannya itu.

Tiap kali selepas ujian, saya akan tanya: “macam mana dik. Ok tak test tadi?” Nak tau apa dia jawab?

“Alaaa kacang je!” Bila jawapan ini  keluar dari mulutnya, saya tak bimbang. Insya-ALLAH bila keputusan di tangan, dia akan suakan saya markah yang memang tinggi. Kalau tidak 100 peratus, 96 peratus memang dalam tangan.

Sumaiya memang pemalu. Suaranya bila bercakap dengan saya (kami), terlalu perlahan. Hampir tidak kedengaran.

Bila diminta kuatkan sedikit suara, dia hanya membalas dengan senyuman. Bila saya tanya lagi, “tak pe lah...”

Sudah beberapa kali saya tanyakan, kenapa suaranya perlahan. Dan jawapannya tetap sama... “Adik malu.”

Anak bongsu saya, As’adah pun ‘kaki cakap’. Selagi tak tidur, selagi itu mulutnya tak berhenti kumat-kamit. Ada saja perkara nak diceritakan.

Pada usia ini, dia tidak izinkan saya memanggilnya ‘adik’. Katanya dia bukan adik. Sumaiya yang adik. Katanya dia dulu lahir, baru Sumaiya.

Dia kurang ‘ngam’ dengan Haniyya. Kalau ditanya As’adah sayang sapa? Jawapannya; “Ummi, Abah, Kakak ‘Arif, Kakak Aufa, Adik Maya.” Mungkin kerana sikap garang Haniyya nama kakaknya itu terkeluar senarai.

Lima puteri saya ini memang tak pernah buat kami sunyi. Hiruk dengan suara mereka. Pikuk dengan ‘jeritan’ saya bila mereka buat perangai.

Sah hidap kanser    

Namun, perjalanan kehidupan kami semakin berwarna, atau lebih tepat bertukar corak bermula Januari lalu.

Ya, Januari 2016. Pada usia saya 46 tahun, hasil memogram, biopsi, ultra guiden biopsy dan CT scan, saya disahkan menghidap KANSER PAYUDARA. Dan paling mengerikan sudah tahap empat!

Memang. Jantung saya rasa luruh. Tercabut. Melayang dibawa halusinasi yang entah apa-apa. Saya sedih. Saya menangis. Jiwa saya jadi lemah.

Melihat wajah suami, saya hiba. Merenung mata anak-anak, saya sebak Ketika itu sebenarnya saya sendiri tidak tahu sama ada saya takut pada penyakit yang menghinggapi atau bimbang kematian di hadapan… saya tidak tahu.

Ya, otak berputar memikirkan. Saya bakal dilamar malaikat maut. Saya bakal bernikah dengan kematian.

Namun, bila mengimbau semula satu demi satu wajah puteri-puteri saya yang pelbagai ragam itu, ia menguatkan semangat untuk terus berjuang.

Walau mereka masih kecil, saya tetap meletakkan harapan moga mereka juga dapat mendorong saya untuk kuat berjuang. Untuk anak-anak di luar sana juga, andai perkara sama terjadi kepada ibumu, teruslah memberi sokongan walau sebesar mana dugaannya.

Ikuti siri kedua kisah ini minggu hadapan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENJADIKAN pemain kriket Pakistan sebagai idola, bakat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting ini semakin menyinar dalam sukan itu.
  • MENYEDARI kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru digalakkan mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses PdPc.
  • MENJADI kebiasaan bagi warga pendidik untuk menulis nota di papan hitam atau papan putih apabila bermulanya proses pembelajaran.
  • ANDA mahu jadi seorang pelajar yang cemerlang? Tetapi anda buntu atau tidak tahu cara yang terbaik untuk mencapainya?
  • USAHA keras 565 pelajar tingkatan satu hingga tiga dan 100 warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini selama lima tahun membuahkan hasil apabila menerima pengiktirafan International Baccalaurreate (IB) World School.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.