PEKAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta kepada Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, bagi menaik taraf bangunan dan kemudahan sekolah itu.

Pengetuanya, Adnan A Aziz berkata, bantuan berkenaan bakal memberi keselesaan kepada warga sekolah tersebut.

“Pihak sekolah hargai usaha kerajaan dalam menghulurkan bantuan dan meringankan beban pihak sekolah. Memang banyak kena perbaiki termasuk asrama dan dewan...saya kira pemberian ini tepat pada masanya, lebih-lebih lagi kami akan jadi penganjur Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh peringkat kebangsaan kali ke-45 tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan Najib ke Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam.

Dalam pada itu, menurutnya lagi, sekolah yang telah ditubuhkan sekitar tahun 1989 itu turut mengalami mendapan teruk di seluruh kawasan sekolah yang telah memberi kesan kepada beberapa bahagian struktur bangunan.

“Sekolah ini turut alami masalah sistem pendawaian dan saliran air yang pecah. Keadaan itu sedikit-sebanyak menggusarkan pihak sekolah kerana boleh membahayakan kira-kira 583 pelajar,” katanya.