TERKEJUT dan tidak sangka nama disebut Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2017. Itu reaksi Siti Hajjar Ahmad, 24, gadis yang viral dengan perniagaan ‘Nasi Lemak Anak Dara’.

Pada sesi pembentangan 28 Oktober lalu, Datuk Seri Najib Razak mengatakan Siti Hajjar adalah contoh graduan yang mengambil langkah berani membuat sesuatu berlainan daripada bidang pengajian kerana sebelum ini Siti Hajjar merupakan graduan bidang kejuruteraan elektronik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Siti Hajjar turut terkejut kerana pemimpin negara itu menyebut namanya dan perniagaan diusahakan dalam satu acara penting tersebut.

“Saya tidak menonton pembentangan bajet berkenaan kerana berada di gerai sempena Festival Makanan di Shah Alam dan mengetahuinya daripada seorang rakan.

“Saya tanya rakan berulang kali.. betul ke, macam tak percaya, malamnya baru saya tengok di Facebook dan media sosial lain mengenai hal itu,” katanya.

Siapa sangka anak seorang guru Matematik yang mengajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pinang Tunggal, Kedah ini menjadi bualan seluruh negara dan mencipta fenomena dengan nasi lemak resipi ibunya.

Anak ketiga daripada lima beradik ini, mengambil keputusan menjual nasi lemak selepas terdetik di hati berbuat demikian ketika menunggu panggilan kerja.

“Saya meminta kebenaran ibu untuk datang ke KL kerana banyak mendapat temu duga kerja di sini, tetapi pada minggu ketiga berada di sini, hati saya terdetik untuk menjual nasi lemak.

“Nasi lemak ibu memang sedap dan saya percaya ramai yang suka nanti,” katanya.

Kata Siti Hajjar, walaupun dia berasal dari Kedah tetapi fasih bercakap loghat Kelantan kerana ramai kawan berasal dari negeri Pantai Timur itu.

Tidak hairanlah dia memilih nama ‘Nasi Lemak Anak Dara.. Nasi sedap.. Hargo pecoh palo!!!’ sebagai 'tagline'.

“Saya tengok ramai orang Kelantan berniaga, jadi sekadar ingin mengambil semangat, saya guna loghat Pantai Timur untuk jualan saya,” katanya.

Memulakan perniagaan pada akhir Ogos lalu, usahawan muda ini pernah dikompaun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejumlah RM2,000 pada 27 September lalu selepas jualan nasi lemaknya mendapat perhatian pengguna media sosial.

Susulan itu juga, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sendiri berkunjung ke gerainya, dengan menyerahkan borang permohonan lesen perniagaan agar tidak lagi dikenakan tindakan.

Setelah beberapa hari berniaga kata Siti Hajjar, media sosial telah viralkan gerai nasi lemaknya sehinggalah menjadi tumpuan sehingga sekarang.

“Alhamdulillah.. saya bersyukur dengan rezeki ALLAH ini, walaupun saya bukan daripada keluarga yang berniaga namun keinginan untuk menceburi bidang ini datang secara tiba-tiba.

“Saya akan tetap memberi fokus terhadap perniagaan nasi lemak, namun turut merancang mencari pekerjaan sesuai dengan bidang yang saya ambil,” katanya.

Kenangan zaman sekolah

Siti Hajjar pernah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang ketika di Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Che Tom, Sungai Petani, Kedah, tahun 2007.

Ketika UPSR, dia mendapat 3A 2B, PMR 5A 3B dan SPM 3A 4B 1C 1D dan menyambung pelajaran di Kolej Matrikulasi Kedah.

“Sekarang saya graduan UTHM. Saya gembira apabila usaha dan cita-cita menggenggam segulung ijazah dalam bidang kejuruteraan tercapai,” katanya.

Katanya, dia masih ingat nama guru yang mengajarnya ketika di Sekolah Kebangsaan (SK) Pinang Tunggal, Kedah iaitu Cikgu Jamaliah, Cikgu Habibah, Cikgu Wan Sabri, Cikgu Adibah, Cikgu Norhayati, Sir Kor, Ustazah Rasyidah dan ramai lagi.

“Banyak kenangan manis dan pahit ketika di sekolah rendah. Paling tak lupa saya pernah menyertai pertandingan deklamasi sajak peringkat sekolah ketika tahun 6. Walaupun tidak berjaya pada pertandingan itu, di situ tersimpan seribu memori indah untuk diingati,” katanya.

Jangan sesekali takut untuk mencuba

Siti Hajjar menasihatkan pelajar yang baru menamatkan pengajian agar tidak takut untuk mencuba sesuatu.

“Kita perlu percaya dengan apa yang kita buat, percaya pada diri sendiri bahawa kita mampu lakukan sesuatu dengan terbaik.

“Dalam apa perniagaan pun, pertama sekali jangan malu mencuba dan jangan takut nak tanggung risiko, selain kuat mental dan fizikal serta tak lupa juga berusaha untuk pelbagaikan benda baharu,” katanya.

Katanya, dia bersyukur dengan rezeki yang diberikan ALLAH dan berterima kasih kepada mereka  menyokong selama ini.

“Saya bersyukur dengan rezeki yang datang kepada saya dan ramai yang boleh menerima dengan bisnes saya ini. Saya pun sedang berusaha untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.

Sememangnya memiliki kedai sendiri menjadi harapan buat gadis cantik berkulit cerah ini.