LEKIR - Seorang guru wanita maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain dalam kejadian kemalangan di Batu 14, Lekir tengah malam semalam.

Kejadian yang berlaku pada jam 12.05 tengah malam itu mengakibatkan guru berkenaan Rohani Zakaria, 53, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.

Suami mangsa yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Amir Hamzah Idris, 54, cedera di muka, kaki dan tangan.

Manakala anak perempuan mereka yang berada di tempat duduk penumpang belakang, Nurul Afiqah, 18, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Hanif Othman berkata, daripada siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku apabila mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga Flx telah memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 31 tahun.

Menurutnya, Perodua Myvi berkenaan datang dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu oleh mangsa yang maut telah masuk ke laluan bertentangan iaitu di laluan Perodua Myvi menyebabkan berlakunya pertembungan antara dua kereta itu.

“Akibat pertembungan ini pemandu Proton Saga Flx maut di tempat kejadian, suami mangsa yang juga anggota polis cawangan MPV di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung mengalami kecederaan di muka, kaki dan tangan manakala anak mangsa tidak cedera," katanya.

Kata Hanif, pemandu Perodua Myvi pula mengalami kecederaan patah kaki dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat serta rawatan lanjut.