BERAPA agaknya duit belanja sekolah bagi seorang murid dan pelajar sekarang? Dengan nilai wang zaman ini, pasti pening kepala juga ibu bapa atau penjaga hendak sediakan bajet duit poket ini, apalagi sekiranya anak ramai.   

Bagi yang tiada masalah memberi duit belanja sekolah anak, isunya pula risaukan makanan apa dibeli di sekolah. Jika perut diisi dengan makanan mengenyangkan dan menyihatkan tidak mengapa. 

Namun jika anak-anak main 'belasah' beli dan makan apa disukai dengan duit belanja sekolah diberi, lain pula ceritanya. Akibat biasa kita dengar, anak jadi obes atau kurang makan makanan berzat. 

Apa tidaknya, jika dah terlalu suka dan sering makan ayam goreng, nuget, coklat, makanan segera serta lain-lain di sekolah tanpa pantauan ibu bapa, pasti akan undang kesannya.  

Jumlah duit belanja sekolah anak dan perkaitannya dengan pembelian makanan di sekolah fokus utama GPS Bestari.com pada minggu pertama persekolahan ini.

Berkongsi pandangan, pakar motivasi kewangan dan keusahawanan, Dr Niki Shuhada Shukor berkata, kebanyakan ibu bapa masa kini hanya menghulurkan sahaja duit belanja sekolah, namun tak mendidik dari segi tabungan.

"Seharusnya anak kita perlu mendapat pendidikan kewangan atau harus diajar value of money daripada dia mula boleh bercakap. Terangkan salasilah bagaimana duit itu boleh 'datang' ke rumah kita. Misalnya apa ibu perlu lalui untuk dapatkan duit, beli makanan dan sebagainya. 

"Patut beritahu daripada mana datangnya saluran duit, supaya dia hormati dan tidak boros, termasuk tidak bazirkan makanan, tetapi hanya membeli yang berkhasiat dan berfaedah," katanya.

Menurutnya, daripada awal lagi sudah perlu mengajarkan kepada anak-anak di peringkat awal hubungan antara duit dan kehidupan.

Katanya, daripada anak itu sudah mula belajar ada duit, harus diajarkan formula kewangan. 

"Contoh formula mudah, ingat tak zaman dulu ada tabung ayam. Tapi sekarang sudah banyak jenis tabung untuk galakkan anak-anak kita menyimpan. 

"Saya ada seorang kawan hasilkan tabung untuk kanak-kanak. Dia ada jual set tabung, ada tiga jenis tabung. Satu 'tabung simpan', satu 'tabung kegunaan' dan satu lagi 'tabung akhirat' iaitu untuk sedekah pada orang. Jadi dari kecil sebenarnya kita boleh berikan tabung sedemikian kepada anak-anak," katanya. 

 

Wang berlebihan  

Jangan lupa sentiasa pesan kepada anak-anak apabila pulang ke rumah dari sekolah pastikan membawa balik lebihan wang belanja sekolah. Jika diberi RM10 sehari... ingatkan tidak semua habis - makan jangan membazir, cuba jimat. 

Untuk memastikan berapa banyak perlu disimpan oleh anak-anak dalam tabung disediakan di rumah, Niki berkata, ibu bapa sendiri perlu buat tinjauan di kantin sekolah untuk mengetahui harga makanan.

"Kita perlu tahu dan bajet kan untuk dia. Misalnya ajarkan "abang... makan ini dan itu, barulah abang akan ada lebihan wang". Memang kita kena ajar anak dari kecil, mungkin boleh seawal empat tahun. 

"Saya pun sering ajar anak-anak dan pelabur-pelabur, kalau RM10 masuk, kita dah kenakan khas RM5... RM5. RM5 tangan kanan, RM5 lagi tangan kiri, separuh-separuh. Sebelum itu, jangan lupa perlu tolak tax (cukai) dan zakat. Zakat dan cukai pendapatan kiranya masuk tabung sedekah. Kemudian yang tangan kanan untuk simpan, tangan kiri untuk belanja. Ini selalu saya beritahu," katanya. 

Mengulas pemberian wang saku sekolah secara berlebihan hingga anak membazir dengan membeli makanan tidak sihat dan tidak tahu cara menyimpan, katanya sekiranya mempunyai 'asas menghormati wang' walau kita mempunyai wang sebanyak mana pun, jika dibazirkan kepada benda-benda tidak baik, itu adalah pembaziran.

Itu seharusnya diingati anak-anak.

 

Murid, pelajar patut dididik, guru beri nasihat

 Hasil laporan bersama oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Asean mendapati beberapa negara Asean seperti Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand berhadapan masalah berat badan berlebihan, manakala sebahagian lain mengalami kekurangan zat makanan.

Jika diperhatikan, kanak-kanak dan remaja memang menghabiskan banyak masa di sekolah. Sudah pasti lebih banyak juga memperuntukkan duit belanja di situ bagi mengisi perut. 

Sekiranya tidak dipantau atau sering diingatkan, sudah tentulah anak-anak masih mentah ini akan membelanjakan wang sesuka hati. Kebebasan wang ada di tangan sendiri akan digunakan untuk mendapatkan makanan digemari. 

Jika gemar ayam, makan kentang goreng, makanan ringan dan sebagainya hanya itulah dicari tiap hari. Siapa 24 jam hendak memantau jika anak-anak tidak berada hadapan mata ibu bapa mereka. Ini antara penyumbang kepada hasil laporan di atas.  

Niki (gambar kecil) berkata, sebagai orang dewasa lebih berpengalaman, ibu bapa sendirilah patut memberikan 'garis panduan' makanan harus dibeli dan dimakan anak-anak mereka dan pembahagian wang yang wajar dilakukan. 

"Misalnya jika mereka dapat RM10, ibu bapa perlu ajarkan anak-anak.... perlu tolak 2.5  untuk zakat, 10 peratus untuk tax. Belajar dari awal 2.5 itu masukkan dalam tabung sedekah kerana duit itu bukan kepunyaannya, ini untuk orang lain... belajar dari awal untuk sedekah. 

"Ajar juga lebihan duit itu, setengahnya masuk tabung simpanan, tak boleh guna sembarangan. Tapi setengah lagi dia boleh masuk akaun berbelanja, bermakna beli mainan atau simpan duit bulan-bulan untuk beli barangan diingininya. Itu bukan duit kita kata bagi belanja harian, tetapi bagi belanja kemudian.... sama seperti goal (matlamat) untuk dia enjoy duit itu, mungkin bagi membeli barang-barang keperluannya dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, anak juga harus belajar, separuh daripada duit tabung sedekah diberikan kepada ibu bapa. 

Katanya, ini disebabkan jika dari awal tidak mengasuh anak untuk memberi kepada ibu bapa, ia antara punca terjadi pada kebanyakan anak zaman sekarang iaitu walaupun bekerja, hanya wang baki terakhir daripada gaji selepas berbelanja semua keperluan baharulah diberi kepada ibu bapa. 

"Sebenarnya kita ibu bapa yang dari awal atau asasnya tidak cakap atau asuh perkara ini . Memang kita ibu bapa sepatutnya tidak mengharapkan pemberian duit daripada anak-anak. Tapi jika sejak awal kita tidak beri tunjuk ajar kepada mereka, memang pada akhirnya mereka tidak akan buat (memberi kepada ibu bapa).

"Ini adalah contoh kebaikan untuk ibu bapa pada zaman tua nanti, akan wujud rasa anak bertanggungjawab terhadap ibu bapa kerana kita dah bentuk sedari kecil asasnya iaitu perlu memberi kepada ibu bapa," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENJADIKAN pemain kriket Pakistan sebagai idola, bakat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting ini semakin menyinar dalam sukan itu.
  • MENYEDARI kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru digalakkan mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses PdPc.
  • MENJADI kebiasaan bagi warga pendidik untuk menulis nota di papan hitam atau papan putih apabila bermulanya proses pembelajaran.
  • ANDA mahu jadi seorang pelajar yang cemerlang? Tetapi anda buntu atau tidak tahu cara yang terbaik untuk mencapainya?
  • USAHA keras 565 pelajar tingkatan satu hingga tiga dan 100 warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini selama lima tahun membuahkan hasil apabila menerima pengiktirafan International Baccalaurreate (IB) World School.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.