MURID  dan pelajar sudah biasa mendengar istilah kitar semula. Walau bagaimanapun, mereka tidak begitu menyedari akan masalah alam sekitar yang berkaitan dengan sisa buangan.

Pengarah Treat Every Environment Special (TrEES), Leela Panikkar berkata, murid dan pelajar masih kurang memahami mengapa mereka perlu segera mengamalkan 4R (fikir semula, kurangkan, guna semula, kitar semula).

"Tahap pengetahuan juga rendah kerana mereka tidak memahami bagaimana untuk mengamalkan kitar semula dengan betul dan teratur.

"Pengetahuan kitar semula dalam kalangan pelajar ini perlu dipertingkatkan selari dengan usaha kerajaan untuk menjadikan amalan kitar semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian masalah pembuangan sampah yang semakin hari semakin meningkat," katanya kepada GPS Bestari.

Menurutnya, penyampaian maklumat perlu mudah difahami dan diikuti. Dengan pendedahan awal di peringkat sekolah, dapat memupuk sikap berterusan terhadap usaha kitar semula bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di rumah.

Leela berkata, kefahaman para pelajar perlu dipertingkatkan supaya dapat membantu mengajar diri sendiri dan keluarga mereka cara untuk mengitar semula - contohnya, apa yang boleh dan tidak boleh dikitar semula, mengapa ia perlu dibersihkan dan diasingkan mengikut kategori betul.

"Pada pemerhatian pihak Trees, tong kitar semula tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Ini kerana kesedaran dan pengetahuan komuniti sekolah yang rendah dan mereka tidak melihat sampah sebagai satu masalah apatah lagi sebagai satu sumber boleh dimanfaatkan.

"Tong kitar semula sebenarnya merupakan satu peringatan jelas dan mudah dilihat bagi membantu sekolah memulakan amalan kitar semula. Walau bagaimanapun tanpa pemantauan dan penguatkuasaan berterusan terhadap cara penggunaan betul, tong-tong tersebut boleh lebih banyak membawa masalah daripada memberi penyelesaian," katanya.

Menurutnya, sebarang tong atau kotak dengan saiz sesuai boleh dilabel dan digunakan sebagai tong kitar semula. Ia adalah penting untuk sekolah mempunyai tong kitar semula di sebelah tong sampah, di dalam bilik darjah, di kantin dan pejabat supaya para pelajar dan kakitangan boleh mengasingkan bahan kitar semula berharga daripada sisa buangan biasa.

Katanya, bagaimanapun, pihak sekolah perlu tegas daripada segi pemantauan dan penguatkuasaan selain mendidik para pelajar dan kakitangan cara-cara menggunakan tong tersebut dengan betul.

Main peranan

Bagi menjayakan usaha ini, semua ahli komuniti sekolah perlu memainkan peranan memastikan amalan kitar semula dilaksanakan - daripada pengetua kepada guru-guru dan kakitangan, para pelajar dan ibu bapa mereka.

Mengulas sekiranya pengetahuan kitar semula tidak bermula dari peringkat sekolah, Leela mengingatkan semua kita akan menjana sampah. Oleh itu, semua orang perlu mengambil bahagian dalam mengitar semula.

"Rasa tanggungjawab menjaga negara kita supaya kekal bersih perlu melalui amalan kitar semula dan sikap tidak membuang sampah merata-rata perlu diajar di sekolah, di rumah, di institusi keagamaan dan kumpulan komuniti.

"Sekolah diharapkan untuk mengajar anak-anak, memupuk keinginan moral melakukan sesuatu yang baik, termasuk mengitar semula dan menjaga kebersihan, bermula dengan ibu bapa terutamanya dan juga pemimpin agama," katanya.  

Ditanya harapan pihak Trees terhadap penggunaan sepenuhnya tong kitar semula di sekolah, menurut Leela kemudahan disediakan di sekolah boleh dijadikan titik permulaan memupuk amalan kitar semula dan merupakan pendedahan awal kepada para pelajar.

Katanya, ia supaya golongan muda menyedari betapa banyaknya sampah yang mereka hasilkan dan belajar bertanggungjawab dalam menguruskannya dengan lebih baik.

"Perubahan sikap ini juga membolehkan para pelajar melihat dan berfikir dengan lebih kritis mengenai jejak ekologi mereka terhadap alam sekitar dan mengambil langkah produktif untuk memelihara masa depan mereka," katanya.

TrEES, ditubuhkan pada 1995, mempromosi gaya hidup lestari di persekitaran bandar supaya warga muda negara dapat menikmati dan memanfaatkan kehebatan alam sekitar di negara ini.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.