SEJUMLAH RM105,840 elaun bulanan tanpa tunai dinikmati 182 murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rual untuk mendapatkan makanan dan minuman di kantin sekolah berkenaan setiap hari.

Elaun pertama kali diperkenalkan dan disalurkan melalui program dermasiswa ‘Love My School’ Yayasan MyKasih (MyKasih) antara lain untuk membantu murid- murid di sekolah berkenaan.

Timbalan Pengerusi MyKasih, Jeffrey Perera, berkata sebanyak RM60 sebulan diperuntukkan untuk setiap pelajar di bawah program berkenaan.

“Elaun berkenaan untuk tempoh setahun. Murid terlibat akan dibekalkan kad pintar MyKasih dan mereka boleh gunakannya untuk beli makanan serta minuman di kantin sekolah.

“Selain itu, mereka juga boleh beli peralatan sekolah termasuk buku, alat tulis, pakaian seragam dan sukan di kedai koperasi sekolah,” katanya.

Jeffrey berkata demikian ketika berucap  pada program bersama murid dan komuniti Orang Asli di sekolah berkenaan baru- baru ini.

Beliau berkata, pelbagai program diadakan dalam usaha membantu murid- murid Orang Asli di sekolah berkenaan.

“Sebelum ini MyKasih melaksanakan program bantuan kembali ke sekolah dan program makmal komputer abad ke-21 di sekolah berkenaan.

“Kedua- dua program berkenaan masing-masing melibatkan peruntukan kira-kira RM3,800 dan RM56,000. Ia tidak lain bertujuan memberi dorongan kepada murid Orang Asli untuk belajar bersungguh- sungguh dan mencapai kecemerlangan,” katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti diadakan pada hari itu termasuk pameran produk hasil kraf tangan Orang Asli dan penyerahan basikal kepada pelajar terpilih.