KOTA BHARU - Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Ahmad Maher menerima Anugerah Tokoh Kopim sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum dan Kepimpinan (Kopim) di Hotel Perdana, 14 Oktober lalu.

Tokoh Kopim kategori lelaki diberikan kepada Wan Hafidanish Wan Hasnazir manakala Tokoh Kopim kategori wanita diberikan kepada Siti Hajar Ahmad Fauzi.

Kedua-dua mereka merupakan atlet sukan yang pernah mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Wan Hafidanish memenangi pingat gangsa Sukma ke-16 di Perak dan Siti Hajar memenangi pingat emas Kejohanan Taekwando Antarabangsa di Jakarta, Indonesia.

Seterusnya, Anugerah Tokoh Harapan Lelaki disandang oleh atlet renang negeri, Nik Adam Khalil Nik Razi Rudiman dan pendebat terbaik bahasa Inggeris negeri, Sara Sophea Abu Nawfar menerima Anugerah Tokoh Harapan Wanita.

Pada majlis itu juga, beberapa kelab dan pasukan turut menerima anugerah atas kejayaan masing-masing.

Antaranya, kelab squasy memenangi Anugerah Kelab Sukan Permainan Terbaik; pasukan olahraga memenangi Pasukan Sekolah Terbaik;  pasukan pandu puteri dinobatkan sebagai Pasukan Badan Beruniform Terbaik manakala kejayaan kelab setem dan filateli yang baru sahaja menempa nama dalam Malaysia Book of Record, dipilih sebagai Kelab dan Persatuan Terbaik.

Pengetua Mohd Zamri Abdul Aziz berkata, majlis yang diadakan itu adalah kemuncak penghargaan kepada warga sekolah, guru dan pelajar dalam bidang kokurikulum.

"Kita bagi penghargaan kepada pelajar yang berjaya mencipta pelbagai kejayaan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa bagi tahun ini.

"Dengan pemberian anugerah tersebut, saya berharap mereka dan warga sekolah yang lain dapat mencipta kejayaan yang luar biasa dalam bidang akademik pula," katanya.

Majlis gilang gemilang itu dirasmikan Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan, Abdullah Mat.

Turut hadir, Pengurus Area Sales & Services Pos Malaysia Berhad, Aini Yasmin Mohd Noor, YDP PIBG Datuk Aziz Derashid dan ahli jawatankuasa PIBG, SMK Dato’ Ahmad Maher.

 

[ ARTIKEL BERKAITAN: PATUTLAH PELAJAR SEKOLAH INI CEMERLANG HINGGA KE PERINGKAT ANTARABANGSA.. INI YANG SEKOLAH BUAT]