TIADA manusia yang tidak melakukan kesilapan. Ummi juga mengakui, dalam mendidik anak-anak, ada kalanya Ummi teralpa.

Selepas didiagnosis kanser, memang Ummi sebolehnya mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang menimbulkan tekanan. Tapi sebagai manusia biasa, Ummi tetap diuji Nya. Kesabaran Ummi ada kalanya terduga.

Peristiwa ini memang tidak pernah Ummi ceritakan kepada sesiapa. Tapi sebagai teladan untuk anak-anak, juga ibu bapa lain, hari ini Ummi mahu ceritakan kisah yang sudah lama Ummi simpan sendirian ini.

Seperti kalian sedia maklum, Ummi mempunyai 5 cahaya mata. Kelima-limanya perempuan. Yang sulung berusia 11 tahun, kedua (10), ketiga (8), keempat (7) dan bongsu tiga tahun.

Kelima-lima mereka memang anak-anak yang mendengar kata. Cuma anak ketiga Ummi (Aufa), mempunyai perangai agak berbeza daripada kakak dan adik-adiknya.

Aufa sikapnya agak buas. Kadangkala seperti kanak-kanak lelaki. Dia pernah panjat pagar. Menggunakan kedua-dua kakinya diletak di kiri dan kanan jenang pintu, umpama labah-labah dia dapat sampai ke atas dengan mudah.

Aufa selalu melakukan sesuatu perkara yang tidak kita ramal untuk tarik perhatian Ummi. Kekadang perbuatan yang menimbulkan kemarahan Ummi. Lebih tepat, Aufa suka provoke Ummi. Sehingga buat Ummi pening kepala dan marah.

Jangan sekali berkata ‘jangan’ dengan Aufa. Larangan itu akan dibuatnya. Dan kerana itu, Ummi sering ‘bergaduh’ dengan Aufa. Dia akan cuba ambil perhatian Ummi walau berulang kali Ummi beritahu yang Ummi penat bekerja.

Sebelum ini Ummi, masuk jam 11 pagi dan pulang tak tentu masa. Jika jam 9 malam Ummi dapat sampai di rumah, itu umpama satu rahmat. Tapi kesempatan sebegini hanya datang sesekali. Selalunya sekitar jam 12 pun masih di pejabat.

Selalunya sebelum ke pejabat, Ummi akan siapkan makan tengah hari, minum petang dan makan malam untuk anak-anak. Makanan semua siap di dalam periuk atas dapur. Bila mereka pulang sekolah, mereka akan ambil sendiri.

Ya. Ummi dan suami berkerjaya. Jadi, anak-anak dalam usia sebegitu sudah pandai berdikari.

Satu hari, Ummi pulang agak lewat. Masa tu, suami outstation. Jadi Ummi seorang mengendalikan kelima-lima anak.

Ketika si adik bongsu menangis minta susu, Aufa sibuk ingin bercerita perihal dirinya ketika di sekolah. Dia ingin menunjukkan hasil lukisannya yang cikgu bagi markah A.

Tapi, perhatian itu sekejap saja Ummi berikan untuknya disebabkan Ummi tak boleh nak fokus. As’adah dah bising menangis kelaparan.

Tak semena, dengan badan letih, otak dah penat, Ummi memarahi Aufa.

“Aufa tau tak... Ummi penat!!! Dengan adik menangis, Aufa sibuk nak bercerita!!! Boleh tak Aufa ke depan, tak kacau Ummi!!!” Ummi seperti menjerit.

Aufa diam lalu membawa diri ke hadapan.

Mulai dari hari itu, Ummi perasan Aufa dah kurang mengganggu Ummi ketika Ummi keletihan. Ummi rasa mungkin dia faham keadaan Ummi yang memerlukan masa untuk berehat dengan aman.

Hinggalah pada suatu hari, Ummi menyemak beg sekolah Aufa. Dalam pada membelek-belek buku latihannya, Ummi terjumpa sebuah buku kecil kulit tebal berwarna merah jambu. Di muka depan buku tersebut dituliskan namanya, kelas dan bertajuk ‘Diari Aufa’.

Ummi mula membuka lembaran-lembaran kecil buku comel itu. Jika dinisbahkan dengan umur kanak-kanak sebayanya, tulisan Aufa amat cantik. Satu persatu perkataan ditulis rapi. Bukan setakat bertulis rumi. Banyak juga ditulis dalam jawi. Ummi kagum. Alhamdulillah, anak Ummi diberi kelebihan itu.

Ummi ingat, di muka surat pertama,. Aufa tulis hari dan tarikh. Kemudian dalam tulisan jawi dia menulis “saya berpusing.”

Ummi selak muka surat sebelah. Tarikh berikutnya. Ummi lupa tarikh itu. Tapi kalau tak silap dalam bulan Januari atau Februari tahun lepas. Ketika itu Ummi baru lagi didiagnosis.

Di muka surat kedua itu sekali lagi Aufa tulis “Saya berpusing”. Tapi kali ini dalam tulisan rumi.

Ummi tak faham apa yang cuba Aufa luah dan sampaikan. Rasanya lebih 20 muka surat, tiap-tiap helaian yang berturutan dengan tarikh yang berterusan Aufa menulis “Saya berpusing.” Sekejap dalam tulisan jawi, sekejap dalam rumi. Hati Ummi terus tertanya-tanya. Apa maksud Aufa sebenarnya.

Keesokan harinya, setelah sarapan sama-sama, Ummi luangkan masa bersama anak-anak. Kali ini lebih fokus pada Aufa. Ummi mahu mengorek rahsia diarinya.

Ketika dia sedang leka menulis di dalam diarinya, Ummi hampiri Aufa.

"Aufa tulis apa tu ?” tanya Ummi.

“Adalah..” jawabnya sambil tersenyum memandang Ummi.

“Apa yang Aufa tulis, boleh Ummi tengok?” Umpan Ummi memasang strategi

“Hehhehe... mana boleh.”

“Ala bolelah...” Ummi merayu.

Tanpa rasa malu, Aufa kemudian menghulurkan diarinya. Ummi berpura-pura seolah-olah tidak mengetahui apa yang Aufa dah tulis.

“Saya berpusing?” Soal Ummi lagak kebingungan.

“A ah. Kak Lang berpusing.” Aufa kadang-kadang memang menggelar dirinya ‘Kak Lang’.

“Macam mana tu?” Soal Ummi lagi.

Aufa lantas berdiri dan menunjukkan pada Ummi macam mana dia berpusing. As’adah  yang melihat Aufa berpusing turut berpusing. Mereka tertawa dan Ummi tergelak.

Puas melihat mereka berpusing Ummi suruh mereka berhenti. Saya tarik Aufa duduk di riba dan Ummi tanya...

“Boleh Ummi tahu, kenapa Aufa berpusing?"

Dia terdiam. Sesaat kemudian barulah dia bersuara...

“Kak Lang berpusing sebab Kak Lang nak undurkan masa. Kalau boleh Kak Lang nak jadi macam As’adah. Jadi budak kecik yang tak dimarahi. Kak Lang tengok Ummi selalu sangat dengan As’adah. Apa-apa semua As’adah Ummi dahulukan. Tapi Kak Lang... Kak Lang selalu buat Ummi sedih dan tak happy. Kak Lang takut Ummi tak sayang kakak lagi...”

Belum habis dia menyambung ceritanya, Ummi dakap dia erat. Ummi menangis. Menangis teresak-esak di kepalanya.

Bagaimana boleh Ummi lupa Ummi mempunyai lima orang anak yang harus diberi perhatian, bukan dua mahupun seorang.

“Maafkan Ummi, Aufa. Maafkan Ummi. Ummi sayang anak-anak Ummi..." Ummi menangis tersedu.

Biarkan. Biarkan Ummi tersedu. Apa yang Ummi mahu... biar Aufa tahu yang Ummi sayang dia seperti mana Ummi sayang anak-anak Ummi yang lain. Maafkan Ummi sayang...

Pesan Ummi kepada ibu bapa yang lain, ibu bapa yang mempunyai anak dan lebih daripada satu, berusahalah jangan beri layanan berbeza. Marilah kita berusaha untuk memberi masa dan fokus yang adil kepada semua anak-anak yang ada.

Bagi ibu bapa bekerja... kita bekerja untuk memberi kehidupan lebih baik kepada anak-anak. Tetapi kita menghilangkan apa yang paling penting... iaitu masa gembira dengan anak-anak. Jangan benarkan ini berlaku dalam keluarga kita!