AGAK menarik latar belakang guru ini. Cikgu Azman Abdullah, 49, bermastautin di Chendering, Kuala Terengganu dan kini mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Bukit Chendering. Beliau menjadi guru sejak tahun 1989 hingga sekarang selama 27 tahun.

Bermula dengan guru Muzik dan Pengajian Melayu dari Maktab Perguruan (MP) Ilmu Khas Kuala Lumpur kemudian melanjutkan pelajaran ke bidang Kesusasteraan Melayu di Institut Bahasa Kuala lumpur.  

Beliau menyambung Pengajian Kesusasteraan Melayu dan Sejarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan pengajian peringkat sarjana di bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Minat dengan aktiviti sukan lasak dan memiliki kelengkapan cukup untuk menyertai sebarang aktiviti mendaki gunung dan berkayak, pengalaman ini dibawanya kepada dunia penulisan hingga terhasil tiga novel mengenai pendakian gunung.

"Tidaklah semua novel saya berpaksikan kepada aktiviti pendakian gunung. Namun pengalaman pendakian ini beri banyak idea kepada saya untuk berkarya. Sehingga kini saya sudah menghasilkan enam novel sejak 1991.

"Selain itu, saya juga banyak menulis cerpen. Kini hampir 30 cerpen saya tersiar di akhbar tabloid sehingga ke Majalah Dewan Sastera dan akhbar-akhbar tempatan. Begitu juga dengan sajak. Beberapa cerpen dimuatkan dalam antologi cerpen diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antara antologi cerpen; Hadiah Terakhir dan Lambaian," katanya.

Azman juga pernah memenangi Anugerah Sastera Darul Iman (Hasdi) dan menang dua kategori Novel Remaja dan Cerpen Umum; Anugerah Cerpen Remaja Hari Guru Wilayah Persekutuan dan Anugerah Cerpen Berunsur Islam anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Aktif menulis cerpen dan puisi dalam era 90-an dan awal tahun 2000, beliau kini kembali aktif dengan menghasilkan novel-novel remaja.  

Kini beliau turut terlibat dalam menghasilkan penulisan buku kanak-kanak bersama DBP. Siri mengangkat martabat dunia perkapalan Melayu dijadikannya sebagai sumber latar cerita kanak-kanak ini.

DAKI GUNUNG, REDAH SUNGAI DAN LAUT

Bercerita minatnya sejak remaja yang gemarkan aktiviti lasak, hingga kini Azman sudah mendaki lebih 15 gunung dan meredah lebih 16 sungai dan laut.

Beliau pernah mendapat anugerah dalam bidang kegiatan lasak ini, antaranya Asean Youth Leadership oleh Outward Bound Singapore melalui Kementerian Belia dan Sukan (1997), Jurulatih Kayak Anugerah Olahragawan Terengganu (1998) dan Anugerah Jurulatih Kebangsaan oleh Pusat Kokurikulum (2008).

Beliau juga pernah bertugas sebagai jurulatih pasukan kayak Sukma Terengganu dan jurulatih sepenuh masa di Pusat Kokurikulum Terengganu.

"Ketika bertugas di Pusat Kokurikulum Terengganu saya banyak melatih guru-guru untuk aktiviti kegiatan luar atau lasak, namun saya memilih kembali menjadi guru di sekolah bagi mengembangkan minat dalam bidang penulisan.

"Kini saya terlibat dengan Program Majlis Buku Kebangsaan (MBKM) di bawah KPM. Turut terlibat dalam program Pengkarya Guru MBKM, juga dalam penyertaan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur," katanya.

Sehingga kini beliau menjadi AJK Grup Teater Asyik Terengganu, tempat beliau mula belajar menulis bersama penyair Marzuki Ali.

Baginya, minat menulis mempunyai kesinambungan dengan tugas hakiki guru.

"Apabila seorang guru menulis, secara tidak langsung memantapkan lagi penggunaan bahasa untuk diaplikasikan kepada pelajarnya. Cabaran seorang guru untuk menulis hanyalah masa.  

"Bagi yang baru mahu mendekatkan diri dengan dunia penulisan...sesebuah cerita mantap memerlukan pengalaman diri sendiri. Nasihat saya, untuk peringkat pertama jadi penulis, tulislah cerita yang dekat dengan diri kita terlebih dahulu. Kembangkan bakat melalui pembacaan luas," katanya.

Harapan Cikgu Azman, beliau diberi kesihatan baik untuk terus berkhidmat sebagai guru dan menghasilkan karya yang mampu menjadi rujukan generasi akan datang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MENJADIKAN pemain kriket Pakistan sebagai idola, bakat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting ini semakin menyinar dalam sukan itu.
  • MENYEDARI kepentingan penggunaan ICT pada masa kini, maka guru digalakkan mengukuhkan penggunaan teknologi dalam proses PdPc.
  • MENJADI kebiasaan bagi warga pendidik untuk menulis nota di papan hitam atau papan putih apabila bermulanya proses pembelajaran.
  • ANDA mahu jadi seorang pelajar yang cemerlang? Tetapi anda buntu atau tidak tahu cara yang terbaik untuk mencapainya?
  • USAHA keras 565 pelajar tingkatan satu hingga tiga dan 100 warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini selama lima tahun membuahkan hasil apabila menerima pengiktirafan International Baccalaurreate (IB) World School.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.