PERNAHKAH kita bayangkan dunia ini tanpa kanser? Tanpa penderitaan. Tanpa kesakitan. Tanpa perlu melihat anak-anak berjuang menentangnya.

Ummi selalu berdoa, moga satu hari nanti dunia yang seperti Ummi bayangkan itu akan menjelma. Moga akan tiba masanya, Insya-Allah akan tiba waktu itu...

Waktu di mana kanser hanya tinggal menjadi sebuah cerita. Sebuah sejarah kepada penderitanya terutama anak-anak yang tidak penah mengenal kalah dan tidak pernah mahu menyerah.

Sehingga saat itu tiba, marilah kita terus menyokong, membantu, merempuh bersama. Sentiasa di sisi memberi semangat kepada anak-anak adiwira ini untuk berjuang melawan  kanser yang dihadapinya.

Kerana mereka tidak seharusnya dibiarkan melawan sendirian.

Sebenarnya dua bulan terakhir 2016 ini terlalu banyak menghidangkan peristiwa penuh emosi. Peristiwa kehilangan yang melibatkan pejuang-pejuang kanser.

Setiap kali menerima berita kematian itu, Ummi berusaha menghalang butir-butir jernih dari menitis di pipi. Tapi, dada tetap banjir dengan air mata...

Antara berita yang meronta tangkai hati Ummi ialah pemergian adik Zulhakimie Zulkifli, 5, yang  berjuang melawan kanser Neuroblastoma.

Kimie anak ketiga daripada lima beradik ini tinggal di Besut, Terengganu, daripada keluarga yang susah dan berpendapatan rendah. Ayahnya seorang pemandu lori yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Kimie di wad. 

Kimie pernah tertangguh rawatan kemoterapinya kerana kesempitan hidup keluarga. Satu hakikat yang amat menyedihkan, di bumi Malaysia yang ramai rakyatnya hidup dalam kemewahan.

Pada pagi 23 Novermber, Kimie pergi menemui Penciptanya. 

Pada 10 Disember pula, Ummi menerima berita pemergian Emylia Syuhaida Amran, 11, penghidap kanser CML Blast Crisis Pre-B ALL High Risk.

Emylia sepatutnya menjalani transplant pertengahan Oktober lalu, tetapi dibatalkan kerana perkembangan kansernya sudah tidak mengizinkan transplant dilakukan, walaupun sudah ada penderma sum-sum.

Putra Zul Azuan pula dijemput Ilahi pada 23 Disember lalu. Pada usia belum sampai 15 tahun, Putra sudah mengharungi dalamnya banjir dugaan. Melawan kanser tulang Osteosarcoma selama lebih dua tahun, pastinya satu perjuangan yang sangat besar bagi remaja seusianya.

Kisah perjuangan Putra bermula ketika dia berusia 12 tahun, apabila dia jatuh dan tangan kirinya bengkak. 

Tanggapan awal, mungkin salah urat atau kesan akibat jatuh namun sakitnya tidak juga hilang lalu dirujuk ke hospital. Namun, anak kedua daripada tiga beradik ini kemudian disahkan menghidap kanser tulang dan sudah di tahap empat.

Selepas menjalani empat pusingan kemoterapi, doktor menyatakan tulang Putra perlu dibuang dan ditukar besi. Lalu pembedahan memasukan besi pun dijalankan. 

Namun, pada Januari 2016, doktor sahkan tangan Putera perlu dipotong. Sebagai anak remaja, Putra sudah punya pendirian. Trauma melalui lima siri pembedahan menyebabkan Putera bertegas tidak ingin tangannya dipotong dan akhirnya pada 23 Disember, Putra dikembalikan kepada ALLAH Yang Maha Pencipta dalam keadaan tubuh yang lengkap sempurna.

Ini cuma tiga anak kanser yang sempat Ummi tuliskan. Sebenarnya terlalu ramai di luar sana pejuang-pejuang kecil punya kekuatan jiwa luar biasa yang dapat memberi kita motivasi tinggi.

Meskipun usia mereka ada yang masih terlalu muda ketika didiagnosis kanser, tetapi anak-anak ini tetap selalu happy. Padahal mereka harus menjalani rawatan. Harus di kemoterapi. Harus di radioterapi. Harus dibedah. Harus menelan pil-pil yang sepatutnya. 

Namun mereka tidak pernah putus semangat.  Hati, jiwa dan tekad mereka terus kuat dan membara.  Dan kekuatan serta kekentalan inilah yang perlu anak-anak ikut.

Benar, kanser mampu melonglaikan anggota badan. Tapi kanser tidak akan dapat melumpuhkan kasih sayang.

Kanser mungkin boleh menghancurkan tulang temulang. Tapi kanser tidak dapat melumatkan harapan. 

Kanser mungkin boleh memutuskan usus. Tetapi kanser tidak dapat mencencang tali persahabatan.

Kanser mungkin boleh menghapuskan kaki dan tangan. Tetapi kanser tidak dapat melenyapkan kenangan.

Kanser mungkin dapat menjelmakan ketakutan. Tapi kanser tidak mampu membungkam keberanian.

Kanser mungkin akan menguasai tubuh. Tetapi kanser tidak dapat menakluki jiwa. 

 Kanser mungkin memudarkan kesihatan. Namun kanser tidak akan melunturkan semangat juang!

Al-Fatihah untuk anak-anak syurga yang sudah kembali ke rahmatullah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HARI raya 2011 amat meninggalkan kesan pada saya. Dek semangat mahu menyambut hari raya bersama keluarga, kami sekeluarga tetap pulang ke Kelantan walaupun perlu berhadapan dengan jalan raya yang sesak.
  • SAYA sehingga kini masih tidak dapat melupakan kenangan meraikan Syawal tanpa kereta kesayangan Honda Civic 2.0 berwarna hitam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.