JARANG sekali seorang Penolong Kanan Kokurikulum mampu kekal sehingga 15 tahun di sesebuah sekolah. Namun itu yang dapat dibuktikan Cikgu Mohd Nasir Mohamad di hari persaraannya pertengahan Oktober lalu.

Seorang pentadbir yang mudah didekati dan menyimpan banyak pengalaman dalam diri. Itulah yang menjadikan beliau seorang guru serba boleh dalam bidang Kokurikulum selepas 39 tahun berkhidmat.

Kelebihan ada dalam dirinya bermula sebagai guru di Sekolah Menengah (SM) Sultan Abu Bakar, Kuantan, Pahang pada tahun 1977 sebelum berpindah ke tempat kelahirannya di SM Chung Hwa Wei Sing, Kuala Terengganu pada tahun 1982. 

Situasi berbeza menabur bakti di sekolah menengah dan rendah sudah pasti mematangkan diri dalam perkhidmatan, memberi kelebihan kepada anak didiknya menimba ilmu, malahan menjadi tonggak berkongsi ilmu dengan semua guru-guru.

Kecemerlangan dalam perkhidmatan membawa kepada dirinya mendapat tawaran jawatan pentadbiran.

Mula bertugas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mengkawang Hulu Terengganu pada 1999 sebelum berpindah ke SK Kampong Bukit Chendering Kuala Terengganu pada 2001.

Beliau amat dikenali sebagai seorang jurulatih sofbol dan tenis ketika mengajar di sekolah menengah. Namun kepakarannya dalam bidang kejurulatihan bola tampar membawa sehingga ke peringkat kebangsaan.

Agak lama beliau menjadi jurulatih dan pengurus pasukan bola tampar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu bertanding di peringkat kebangsaan. Koleksi kemenangan di Peringkat MSSM juga pernah dibawa pulang untuk Pasukan Terengganu.

Pengalaman ini membawa kepada SK Kampong Bukit Chendering sering mendapat pingat dalam kejuaraan bola tampar di peringkat Daerah Kuala Terengganu.

Komitmen dalam bidang sukan dan kokurikulum sukar untuk dinafikan menjadi milik Cikgu Mohd Nasir.

Masih aktif

Mengulas keterlibatan pelajar dalam aspek kokurikulum, menurut Mohd Nasir beliau melihatnya sesuatu yang penting.

"Memang nampak kebanyakan ibu bapa sekarang lebih mahu anaknya memberatkan akademik daripada kokurikulum dengan nisbah 80:20. Namun secara peribadi bagi saya nisbah 60:40 iaitu 60 akademik dan 40 kokurikulum, lebih baik.

"Dengan itu, barulah tidak timbul isu pelajar cemerlang akademik, tetapi 'kurang' dari segi sahsiah dan pergaulan. Tetapi melalui aktiviti kokurikulum, dapat membentuk semangat kerjasama dan sahsiah peribadi," katanya kepada GPS Bestari susulan majlis persaraannya.

Menggunakan pendekatan kepimpinan dekat dengan orang dipimpin menjadikan beliau seorang pentadbir disegani. Mudah mengatur setiap program dan sekali gus meningkatkan prestasi sekolah dalam bidang kokurikulum. Ini juga yang diterapkan bersama isterinya Latifah Yusof yang juga seorang pesara guru.

Kegigihan beliau membawa kepada penerimaan Anugerah Cemerlang pada tahun 1988, 2007 dan 2012.

Sejak 20 tahun lalu, hingga hari ini Mohd Nasir masih aktif dengan sukan golf. Pernah mewakili pasukan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam perlawanan Golf. Malahan beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Teknik Golf MSSM di Terengganu serta melatih dan menjadi Pengurus Pasukan Golf Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu.

Seperti kata Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Azahar Abu Bakar yang turut hadir di Majlis Persaraan Cikgu Mohd Nasir, JPNT seperti terpaksa merelakan sebutir permata meninggalkan dunia perguruan, namun amat berterima kasih dengan setiap sumbangan ditaburkan.

Beliau lahir pada 17 Oktober 1956 merupakan anak ke-3 dari 4 beradik pasangan Mohamad Abdul Ghani dan Ngah Omar. Namun dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu tirinya Amah Busu selepas kematian ibu kandung ketika masih berusia 5 tahun.

Mendapat pendidikan pada 1969 di SK Sultan Sulaiman 2 dan di SM Sultan Sulaiman Kuala Terengganu sebelum berpindah ke SM Teknik Kuantan pada 1972. Beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Teknik di Cheras Kuala Lumpur pada 1975.

Ekoran ini semua sepakat menggunakan tema era 70an untuk Hari Persaraan ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SIAPA sangka, dengan hanya mula-mula ikut abang ke padang bola untuk melihat abangnya berlatih tapi akhirnya dia terjebak dengan sukan yang dimonopoli lelaki itu.
  • KEPUTUSAN sekumpulan tiga pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu Besut memilih untuk membuat penyelidikan menghasilan baja organik (Oil Fertilizer) daripada bahan terbuang untuk dipertandingkan ternyata membuahkan hasil kepada mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.