SEJAK di bangku sekolah terlibat dalam pelbagai acara seperti bahas, pidato dan pantun. Tidak hairanlah apabila menjadi guru, beliau bertekad memberikan segala ilmu dimilikinya untuk membentuk anak muridnya cemerlang dalam hidup dan dalam kokurikulum khasnya.

Guru muda berasal dari Terengganu ini, Mohd Bakri Talib yakin bahawa pelajar mempunyai potensi boleh digilap. Cuma memerlukan tugasan dan sentuhan di luar batasan bagi menjadikan mereka berjaya dalam kokurikulum.

"Sejak mula berkhidmat (di Sekolah Menengah Teknik Setapak, Kuala Lumpur), saya terus membawa pasukan bahas ke peringkat kebangsaan. Diikuti dengan pasukan pantun, pasukan teater, pidato, tarian dan juga puisi dan lagu.

"Kesemua ini berbalik kepada minat sendiri sebenarnya, barulah datang iltizam untuk membentuk kejayaan anak-anak murid," katanya kepada GPS Bestari.com.

Mula berkhidmat di SM Teknik Setapak dari 2004 hingga 2013, beliau kini bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zon R1 Wangsa Maju, Kuala Lumpur sejak Mac 2013 sehingga sekarang.

Sebagai guru cemerlang Bahasa Melayu, beliau juga memegang jawatan Ketua Panitia Bahasa Melayu dan Ketua Guru Penasihat Kelab Bahasa Dan Kesusasteraan Melayu.

Bercerita 'sejarahnya' menjadi pendidik, guru sudah berumah tangga dan mempunyai dua cahaya mata ini memberitahu minatnya bermula sejak kecil, didorong kehebatan dan kewibawaan bekas-bekas guru semasa di sekolah menengah.

Bakri menjadikan mereka idola dalam hidup, sekali gus menyebabkannya berminat menjadi guru, khususnya guru Bahasa Melayu. Dalam masa sama fokus sebagai guru kokurikulum.

Berkongsi pengalamannya, menurut Tokoh Guru Kokurikulum PPW Keramat, Kuala Lumpur ini ada kepentingan kokurikulum kepada pelajar dan kaitannya.

"Koko (kokurikulum) itu penting sebagai nilai tambah kepada seseorang pelajar, menjadikan mereka lebih berkeyakinan dalam hidup dan masa depan mereka. Ada sesetengah pihak beranggapan koko itu membebankan, mengganggu masa dan pelajaran, memenatkan, dan sebagainya.

"Namun apa selalu saya terapkan kepada pelajar saya, 'ada ribuan pelajar pandai dalam pelajaran di luar sana, malah ada jauh lebih pintar dari kita. Namun, percayalah, tidak ramai berbakat dan berkebolehan seperti kita di luar sana. Kita amat istimewa. Jadi, gunakanlah bakat dan kebolehan kita ini untuk menjadi bintang yang bergemerlapan'," katanya.

Akademik No.1

Ramai pelajar di bawah didikannya khususnya dalam bidang kokurikulum seperti bahas, pantun, dan teater ini, berjaya dalam hidup masing-masing.

Bakri berkata, beliau sendiri dapat melihat, pelajar ini menelusuri hidup, hingga kini ada berjaya menjadi guru kokurikulum kepada anak murid mereka pula, dan ada juga menjadi fasilitator dan penceramah.

"Tahniah kepada mereka ini. Apa pun akademik itu tetap menjadi nombor satu, sampai bila-bila. Perkaitan antara keduanya, bagi saya ia sama penting.

"Akademik tanpa koko, kita jadi pelajar ulat buku atau cemerlang di atas kertas sahaja. Akademik dan koko, insya-ALLAH kita cemerlang dalam hidup," katanya.

Bukan semudah disangka, Bakri berkata banyak cabarannya sebagainya guru kokurikulum.

Antara cabaran ini, kritikan guru kepada pelajar seolah-olah mereka tertinggal dalam pelajaran dek kerana kokurikulum, masalah tekanan daripada pihak ibu bapa dan penjaga serta bajet menyediakan kelengkapan untuk pelajar.

"Cara mengatasi, saya nasihati pelajar-pelajar saya, sedari awal semasa mereka menyertai pantun atau bahas, supaya kuat hadapi tekanan sebegini. Ada juga menarik diri daripada libatkan diri, kerana tidak berjaya menahan tekanan itu.

"Saya hanya mampu berikan nasihat dan ceritakan pengalaman saya kepada mereka, namun selebihnya saya serahkan kepada mereka dan penjaga sendiri buat pilihan, tanpa sebarang paksaan," katanya.

Menurutnya beliau juga biasanya cuba berbincang dengan ibu bapa pelajar untuk tidak mengganggu pelajaran di bilik darjah.

Biasa dilakukan tanpa orang lain mengetahuinya, bila berdepan masalah berkaitan beliau juga meminta bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, tajaan daripada orang perseorangan mahupun menggunakan duit sendiri.

"Nasihat saya kepada yang ingin menjadi guru koko, anda perlu ada semangat dan kekuatan mendidik pelajar hingga berjaya. Jika tidak kuat semangat, pelajar juga akan turut lemah semangat. Tapi jika anda kuat, pelajar 10 kali ganda akan lebih kuat dan bersemangat.
Percayalah.

"Mereka percaya kepada kita. Jadi bina kepercayaan itu dengan hadiahkan kejayaan kepada mereka walaupun hanya di peringkat zon atau daerah.

Selain itu, tidak boleh cepat tertekan. Tanamkan tekad jika ingin jadi guru koko, apa juga tekanan dan cabaran, perlu hadapi. Kita kena belajar. Jika ingin jadi guru bahas, belajar tentang bahas. Jika ingin menjadi guru pantun, kena tahu pantun. Bukan sekadar ambil jurulatih luar atau import, kerana skil sebenar bukan pada kita, tapi pada orang luar. Usaha untuk belajar," katanya.