BARU-baru ini Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang mengenakan hukuman gantung persekolahan setahun kepada pelajar terbabit kes buli serius.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu, pihaknya memandang serius kes buli pelajar sekolah akhir-akhir ini yang dikatakan semakin meningkat, menyebabkan pihaknya akan mengambil tindakan sesuai terhadap pelajar terlibat.

Katanya, pembuli digantung persekolahan itu juga akan melakukan kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak dalam tempoh akan dibincangkan kementeriannya.

Melalui kenyataannya disiarkan Sinar Harian 17 Oktober lalu, Mahdzir berkata, hukuman itu dicadangkan bagi mengelakkan pembuli dibuang sekolah hingga dikatakan pelajar itu akan tercicir persekolahan dan mudah terdedah aktiviti tidak sihat.

Cadangan itu syarat kepada pembuli diterima masuk semula ke sekolah. Ini sekali gus bermakna, pembuli terpaksa mengulang persekolahannya semula dan jika pelajar itu mengambil peperiksaan, dia mesti menangguhkannya hingga tahun hadapan.

Bagaimanapun menurutnya, cadangan itu baru di peringkat kajian dan pihaknya mengalu-alukan badan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama memberikan pendapat bagi mengatasi masalah tersebut.

Pihaknya memberikan masa untuk mendapatkan reaksi berhubung masalah ini termasuk daripada masyarakat dan sekiranya cadangan itu diterima ibu bapa, KPM mungkin akan melaksanakannya tahun hadapan.

Terbaharu GPS Bestari.com turut mendapatkan ulasan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan. Menurutnya, maklum balas berkaitan masih dikumpulkan dan akan mengumumkannya setelah keputusan dibuat dalam masa terdekat.  

Persoalannya perlukah pergantungan pelajar membuli ini selama setahun? Setakat ini 'orang kuat' berkaitan bidang pendidikan sudah memberikan pendapat dan cadangan masing-masing.

Antara rangkumannya, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan, cadangan menggantung persekolahan kepada pelajar terbabit adalah tempoh terlalu panjang. Beliau mencadangkan tempoh pergantungan lebih pendek sekitar tiga bulan.

Lam Thye mempersoalkan, jika pergantungan mengambil masa setahun, apa akan jadi kepada pelajar berkenaan dan siapa akan bertanggungjawab menjaga mereka. Katanya, hal ini tentu akan menyusahkan ibu bapa serta mendatangkan implikasi kepada pelbagai pihak lain.  

Isu buli kalangan pelajar sekolah menurutnya bukanlah perkara baharu.

Paling penting katanya, kukuhkan tahap disiplin pelajar di sekolah.

Langkah serius

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan pula menyambut baik cadangan KPM mengambil tindakan ke atas pelajar terlibat kes buli serius.

Menurutnya, langkah itu menunjukkan keseriusan KPM mengekang berlakunya kejadian buli yang semakin menjadi-jadi melibatkan semua peringkat pelajar.

Bagaimanapun beliau menyifatkan hukuman menggantung persekolahan pelajar sehingga setahun itu terlalu lama dan boleh memberikan implikasi negatif kepada pelajar terbabit.

Mohamad mencadangkan KPM memperhalusi cadangan itu dan berpendapat mungkin hanya perlu menggantung persekolahan selama enam bulan.

Tempoh itu katanya sesuai bagi mengelakkan pelajar terlibat bergaul terlalu lama dengan pembuli lain serta selesa melakukan aktiviti mereka.

Menurutnya, cadangan KPM menghantar pembuli ke pusat-pusat pemulihan akhlak dan melakukan kerja kebajikan sepanjang proses pergantungan juga sesuatu yang baik, namun beberapa elemen perlu diambil kira.

Antaranya, pihaknya berharapkan pemutihan hati dan penyeliaan karakter dalam aspek keagamaan, kaunseling dan psikologi bagi memulihkan keyakinan pelajar terlibat.

Mohamad juga menyifatkan reaksi dan kesan ke atas keluarga pembuli yang diambil tindakan gantung sekolah juga perlu diambil perhatian oleh kementerian terbabit.

Apa pula kata orang ramai berhubung isu ini? Perlukah pergantungan selama setahun ini? Ikuti Fokus kupasan GPS Bestari.com minggu ini.

Sekiranya denda dijalani pelajar dilihat dapat meningkatkan pemulihan dan keyakinan untuk tidak menjadi kaki buli setelah menjalani hukuman dalam tempoh itu, mungkin ia wajar dilaksanakan.

Ketua Unit Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi)@ PAKAR Malaysia, Dr Fauziah Mohd Sa’ad berkata, namun pihak terbabit perlu mencari alternatif lebih baik dan sesuai untuk menghukum pembuli terdiri daripada golongan tersebut.

"Pelajar menjadi leader (ketua buli) ini patut dimasukkan ke pusat pemulihan untuk betulkan tingkah laku, pemikiran dan emosi mereka. Tetapi di pusat pemulihan, pelajar ini tetap perlu mendapat pendidikan sewajarnya dengan tahap umur.

"Kalau terlalu lama akan memberi ruang pada 'benda-benda' lain dan kurangkan minat mereka bersekolah.

Ditakuti nanti pelajar ini jadi leader kumpulan samseng bila dewasa.

Manakala ahli-ahli kumpulannya yang lain diberi denda buat kerja amal dan digantung berdasarkan lembaga disiplin," katanya ketika mengulas cadangan menggantung persekolahan selama setahun kepada pelajar jadi kaki buli.

Fauziah berkata, sesetengah pelajar membuli tanpa sedar perbuatan mereka sama ada secara fizikal atau psikologi membuatkan mangsa buli trauma.

Menurutnya, jika pelajar membuli ini tidak diberikan pendedahan bahawa tindakan mereka salah walaupun ia kecil, dikhuatiri lebih mengundang masalah.

"Pelajar membuli tidak sengaja atau suka-suka mungkin alami tekanan kerana bagi mereka buli itu sekadar gurauan.

Namun, kepada pelajar membuli sehingga melibatkan kecederaan parah atau kematian, mereka seharusnya diberikan rawatan dan hukuman setimpal.

"Ini agar tidak mengundang kepada risiko bakal mereka hadapi seperti kemurungan atau tekanan tinggi yang boleh mendorong mereka lakukan sesuatu di luar jangkaan kerana malu atau rasa hidup mereka tidak diterima masyarakat hari ini dan kelak," katanya.

Mampu berubah

Manusia merupakan makhluk yang mampu berubah ke arah lebih baik sekiranya mereka diberikan kesedaran.

Fauziah berkata, justeru aspek keagamaan perlu diterapkan. Selain itu mendoakan sesama manusia sangat dituntut untuk sama-sama hidup dalam kebahagiaan.

"Beberapa cadangan boleh dilakukan dengan hantar mereka ke pusat pemulihan akhlak dalam tempoh beberapa bulan, berikan kaunseling berkala, memanggil ibu bapa dan pantau perkembangan pelajar dengan wujudkan buku rekod yang mana mereka tak boleh membuli.

"Jika tetap membuli, serah pada polis untuk tindakan seterusnya," katanya.

Menurut Fauziah, pembuli di sekolah umumnya terdiri daripada pelajar menengah atas dan kegiatan secara sekumpulan.

Mangsa buli pula berlaku pada pelajar menengah bawah yang biasanya jadi tumpuan atau pelajar sering mendapat pujian guru-guru. Mereka dibuli kerana dikatakan baik dan dilihat lemah kerana sikap tidak mahu bergaduh dan skema.

Kaki buli bertingkah laku agresif dan berasa berkuasa kepada mangsa. Mangsa pula berasa lemah, memohon ihsan pembuli.

Faktor membuli kerana mahu dilihat berkuasa, kuat, tidak mudah digertak dan dapat menghilangkan bosan.

Katanya, membuli juga bentuk memberontak atau protes pelajar terhadap guru yang mendenda mereka.

Kembalikan hukuman rotan

Saya bersetuju dengan KPM untuk menggantung persekolahan pelajar selama setahun. Penggantungan persekolahan itu hanyalah keluar dari sekolah, tetapi pelajar terbabit haruslah hadir setiap hari di kem atau pusat tahanan bagi menjalani hukuman pemulihan.

Ini dilihat sebagai langkah taktikal bagi membendung pembuli daripada membuli di sekolah, selain daripada mengemas kini cara penggantungan sekolah yang selama ini melihat pelajar yang digantung tidak perlu hadir ke sekolah dan tanpa pengawasan pihak tertentu.

Ini yang menjadikan pelajar ini semakin seronok dan mudah terlibat dengan aktiviti tidak sihat sepanjang tempoh penggantungan.

Pada saya, kebanyakan pembuli ini asalnya mereka kurang kasih sayang. Mungkin kasih sayang daripada mak ayah yang tidak kuat.

Mereka kurang mendapat perhatian keluarga dan berasa iri terhadap orang lain.

Sebab itulah kebanyakan pembuli membuli pelajar lemah dan tidak melawan. Mereka menganggap pelajar lemah ini lembik, sering dimanjakan oleh ibu bapa dan keluarga.

Kaunseling dan terapi kesihatan adalah cara untuk atasi masalah yang tak selesai ni. Bagi saya, pemeriksaan psikologi itu perlu bagi kes berat at au peringkat jenayah.

Bagi pelajar yang acah-acah buli, penegasan, peringatan atau amaran keras perlu diambil oleh pihak pengetua atau guru besar dan guru. Sebab itulah hukuman rotan perlu dikembalikan dengan syarat. - Guru SK Satak, Raub Pahang, Wan Mohd Khairi Wan Hassan

Tindakan cara berperingkat

Bagi PIBG, cadangan menggantung selama setahun pelajar terlibat ini ada pro dan kontranya. Perlu lihat kes dan senario melibatkan pelajar ini. Misalnya buat masa ini, tak datang 30 hari berturut-turut ke sekolah dan bergaduh juga boleh dibuang sekolah.

Tapi kes buli ini berbeza. Ada yang membuli dan ada jadi mangsa. Yang membuli juga kita perlu lihat, apakah niat mereka. Apakah memang ingin mencederakan atau hanya untuk mempermainkan mangsa.

Jika suka sama suka atau bergurau, bolehkah kita gantung sekolah? Sekiranya mangsa membuat laporan polis dan polis buka kertas siasatan, maka nama pelajar membuli ini akan 'lekat' sampai bila-bila.

Saya berdepan kes, ibu bapa tidak mahu anak mereka dilaporkan kepada polis. Biasanya kes buli berat ini berlaku di asrama. Tapi di sekolah tidak sampai ke tahap itu. Perlu lihat, jika buli 'pau' (peras ugut) duit yang banyak, adakah pembuli ini perlu digantung persekolahan?

Mungkin sekadar perlu perlu jumpa guru kaunseling atau disiplin. Pada saya jika perlu jalankan hukuman menggantung pelajar buli ini pun, ia perlu dilaksana cara berperingkat.

Mungkin kali pertama, rekod dan buat surat amaran. Kali kedua, surat amaran kedua dan jika sampai kali ketiga dan mencederakan harus diberi surat amaran dan panggil ibu bapa mereka. Kali keempat jika masih lakukan bolehlah ambil tindakan tegas.

Perlu lihat juga rekod pelajar terlibat, siasat latar belakang keluarga, adakah mereka di kelas akhir, kurang kasih sayang dan sebagainya. Yang penting sikap mereka perlu diubah dahulu.

Saya setuju dengan pergantungan setahun ini, tapi perlulah ada pengisian untuk ubah sikap mereka.

Dari segi sahsiah dan agama, masuk disiplin ala tentera, buat kerjakerja kebajikan sosial dan bekalkan mereka kemahiran jika betul-betul kementerian dan kerajaan nak bantu.

Bukan sekadar cakap. Kalau setakat duduk rumah sahaja, saya tak setuju gantung setahun itu. Bukan untuk kes buli sahaja, tapi bagi kesalahan jenayah dan salah laku. Kajian menyeluruh harus dibuat. - Yang Dipertua PIBG SK dan SMK Setiawangsa, Kuala Lumpur, Amiruddin Sahudi

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.