KOTA BHARU - Seramai 18 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri disini meluangkan masa mereka beriadah sambil menimba ilmu pengetahun melukis bersama Adlan Aman Arts, di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, baru-baru ini.

Program melukis bersama pelukis terkenal, Adlan Aman itu merupakan aktiviti luar bilik darjah yang dilaksanakan pihak sekolah melibatkan pelajar tingkatan enam.

Adlan berkongsi pengalamannya mengendalikan bengkel selama dua jam tersebut yang banyak memberi penekanan kepada cara melukis, mewarna dengan betul termasuklah juga pemilihan pensel warna.

“Dengan cara ini mereka dapat belajar pelbagai teknik mewarna dan melukis dengan betul malah membantu mereka untuk persediaan menjawab soalan peperiksaan lukisan yang dijangka Mei ini,” katanya.

Adlan yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tersebut memberitahu, kreativiti juga memainkan peranan penting untuk menghasilkan satu lukisan yang menarik.

Malah beliau yakin, dengan ilmu yang dikongsi, pelajar tersebut akan dapat menjawab soalan itu dengan baik, sekali gus menjadikan mereka pelukis amatur yang sempurna.

Adlan memberitahu, beliau sering kali diminta untuk berkongsi pengalaman dan ilmu mengenai lukisan dengan pelbagai kelompok, iaitu pelajar, pekerja dan termasuk juga golongan profesional.