YAHOOO... cuti sekolah! Pejam celik... pejam celik... kita sudah sampai ke hujung tahun 2016. Cuti sekolah pun kini bermula dari 26 November hingga 1 Januari 2017 nanti. Bagi adik-adik bersekolah, sudahkah merancang aktiviti bermanfaat sempena cuti panjang ini?

Selain berehat bersama keluarga, pulang ke kampung, menghadiri kelas-kelas kemahiran dan sebagainya, antara kegiatan popular musim cuti ini menyertai kem dan perkhemahan.

Di samping meluaskan pengetahuan, boleh juga menambah ilmu kemahiran hidup dan bersosial cara sihat dengan suasana persekitaran semula jadi luar dari 'kongkongan' diameter bilik darjah.

Pastinya suasana di luar kelas apalagi luar sekolah, akan terdedah dengan pelbagai cabarannya. Suasana dan pendedahan inilah kesempatan boleh diambil peserta untuk belajar sesuatu daripada kebiasaan di sekolah.

Namun jika tidak ikut langkah atau panduan betul, sudah pasti ibarat mengundang risiko. Untuk itu, ada perkara perlu dipertimbangkan sebelum menyertainya.

Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO), Muhammad Hairynizam Muhd Taib berkongsi pandangannya dengan GPS Bestari.com mengenai tajuk Fokus kali ini.

Mungkin kita tidak perasan, menurut Hairynizam, penganjur kem cuti sekolah juga adalah tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan bukan sahaja kepada pekerja, tetapi turut merangkumi semua orang yang berada di tempat kerja atau premisnya dan bagi situasi ini adalah merujuk kepada peserta program kem cuti sekolah.

Dua aspek harus diberi perhatian iaitu penganjur dan peserta itu sendiri.

Aspek penganjur, peserta

"Dari aspek penganjur, pengalaman penganjuran program termasuklah struktur pengurusan kem;  modul dan aktiviti sama ada indoor, outdoor atau kedua-duanya sekali harus diteliti.

"Pastikan lokasi program atau kem kerana setiap lokasi mempunyai risiko tersendiri. Contohnya perkhemahan di kawasan hutan mendedahkan peserta kepada risiko serangan binatang berbisa atau buas, tersesat, malaria dan sebagainya," kata Hairynizam.

Menurutnya, ibu bapa disyorkan melawat kemudahan penganjuran kem melihat sendiri aspek keselamatan  seperti peralatan akan digunakan masih dalam keadaan baik iaitu tidak rosak, mempunyai sistem pencegahan kebakaran lengkap dan sebagainya.

Hairynizam berkata, aspek peserta perlu diberi perhatian pula adalah melihat tahap kesihatan, kematangan dan keupayaan peserta. Ini penting kerana sekiranya aktiviti dijalankan semasa kem tidak bersesuaian tahap kesihatan peserta, ia boleh bawa kemudaratan pada kesihatan mereka.

"Jadi keperluan ibu bapa maklumkan tahap kesihatan dan keupayaan peserta pada penganjur semasa buat permohonan agar pihak mereka dapat nilai kesesuaian peserta menyertai program atau ada keperluan khas perlu disediakan.

"Jadi tanggungjawab penganjur memastikan langkah wajar diambil untuk keselamatan dan kesihatan peserta sepanjang tempoh kem di mana boleh dikategorikan kpd 3 fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas penganjuran kem," katanya.

Teruja sertai kem

Dalam keterujaan hendak menyertai pelbagai kem luar sekolah dianjurkan, pelbagai pihak juga perlu mengambil tanggungjawab sama dalam memastikan perkara berkaitan.    

Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO), Muhammad Hairynizam Muhd Taib berkata, ada pihak terlibat patut memastikan kesesuaian modul untuk murid dan pelajar yang mengikuti program kem tersebut.

"Pihak berkenaan yang terlibat ini sama ada guru, pengetua atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) termasuklah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan sebarang modul bagi penganjuran program atau kem diadakan mencapai matlamatnya. Pada masa sama keselamatan dan kesihatan peserta serta penganjur terpelihara.

"Sebarang penganjuran program melibatkan perkhemahan atau lawatan yang dianjurkan oleh pihak sekolah hendaklah mematuhi perundangan berkaitan iaitu Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12/2000: Lawatan Pendidikan Murid Di Hari Persekolahan; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/2002: Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/2007: Garis Panduan Lawatan Murid dan Akta Pelancongan 1957," katanya.

Ditanya sama ada terdapat kewajaran supaya aktiviti kem cuti sekolah oleh penganjur dikawal selia badan khas, Hairynizam berpandangan mungkin telah sampai masanya kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai mekanisme khas mengawal selia kem cuti sekolah agar penganjuran kem seumpamanya selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan dalam melahirkan insan seimbang.

Katanya, ini amat penting agar kem seperti ini memberikan impak positif kepada peserta dan bukannya sebaliknya sama ada daripada aspek keselamatan, kesihatan, emosi peserta dan sebagainya.

"Mungkin juga pihak kementerian boleh mempertimbangkan melaksanakan pentauliahan program-program melibatkan pelajar sekolah terutamanya yang berbayar. Sebagai contoh kita ambil persijilan ISO 9001, organisasi tidak wajib mempunyai persijilan ini namun ia dijadikan penanda aras oleh organisasi lain dan pengguna bahawa organisasi tersebut mempunyai piawaian ketat dlm operasinya.

"Berbalik kepada pentauliahan program seperti ini, di mana ia boleh memberikan panduan kepada ibu bapa memilih penganjur program sekali gus beri keyakinan kepada ibu bapa bahawa penganjur menerima pentauliahan menawarkan program melepasi standard atau tapisan oleh KPM. Ini amat membantu ibu bapa membuat pemilihan penganjur program," katanya.

Bina personaliti

Baru-baru ini berlaku kejadian seperti ‘campak ular’ kepada murid semasa aktiviti kem luar sekolah hangat diviralkan.

Hairynizam berkata, insiden seperti itu adalah amat dikesali walaupun mungkin penganjur berniat baik untuk meningkatkan daya tahan atau semangat peserta.

"Namun begitu perkara tersebut boleh mendatangkan trauma emosi kepada peserta. Justeru itu adalah amat penting penganjur membuat penilaian sewajarnya berkaitan modul akan digunakan agar bersesuaian dengan kumpulan sasaran peserta.

"Seterusnya SOP hendaklah dibangunkan untuk memastikan mana-mana anggota melaksanakan kem ini mematuhi segala SOP diluluskan," katanya.  

Dalam pada itu, beliau menasihatkan peserta yang juga pelajar supaya memanfaatkan sebarang kem disertai dengan menjadikan kem ini 'medan' membina personaliti diri cemerlang.

Menurutnya, persahabatan merentasi kaum, bangsa dan agama boleh dibina melalui kem diadakan.

"Enjoy dengan program namun begitu ambil perhatian sebaiknya terhadap keselamatan diri dan orang lain. Ini kerana setiap tindakan membawa kesan sama ada positif atau negatif dan kita mempunyai pilihan untuk menentukan tindakan kita, namun bukan pilihan kesan ke atas pilihan tindakan kita.

"Kepada peserta juga, jika mempunyai masalah kesihatan, maklumkan segera kepada pihak penganjur agar tindakan wajar dapat diambil. Maklumkan kepada penganjur sebarang perbuatan atau keadaan tidak selamat kerana ia boleh menyelamatkan semua orang daripada ditimpa kemalangan," katanya.

Hairynizam juga menasihati peserta program mematuhi segala 'do n dont' yang dikeluarkan oleh penganjur.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.