DENGAN kepesatan dan kecanggihan teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) masa kini, bahan dibaca oleh murid dan pelajar kita semakin pelbagai dan luas spektrum genrenya. Malahan cara penyampaian bahan itu juga pastinya jauh lebih menarik.  

Inilah peluang untuk kita mengeksploitasi kepesatan teknologi, kecanggihan gajet serta trend dan minat anak-anak sekarang ke arah lebih positif. Kemudahan internet pula menyediakan pelbagai maklumat di hujung jari.

Bahan elektronik, e-book, e-majalah, e-suratkhabar dan sebagainya telah mengubah landskap pembacaan kita iaitu dari bilik bacaan yang sangat konvensional, namun kini boleh membaca di merata-rata tempat difikirkan sesuai oleh pengguna peranti.

Perolehan bahan dalam bentuk elektronik ini amat sesuai dengan trend generasi Z yang turut dikenali sebagai 'The new silent generation', The internet generation' atau The google generation'.

Berdasarkan perkembangan teknologi ini, kualiti pembacaan seharusnya mengalami lonjakan amat luar biasa kerana terdapat pilihan bahasa dan bidang lebih luas dan terkini.

Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Kassim berkata, era generasi Y, di mana murid dan pelajar kita kini berada, adalah landskap alam pembacaan tanpa wilayah dan sempadan.

Menurutnya, mereka boleh membaca apa sahaja jenis karya dan bentuk penyampaiannya kerana semuanya terdapat di dalam talian.

"Dengan terhidangnya segala kemudahan dan pilihan bahan untuk pembacaan, kita semua terutama murid dan pelajar tidak boleh memberi alasan untuk tidak membaca.

"Pendidikan merupakan prasyarat peningkatan status sosioekonomi individu, keluarga dan seterusnya berkait rapat dengan mutu kehidupan. Kajian mendapati terdapat perkaitan rapat antara pendidikan dan membaca. Ini bermakna seseorang berpendidikan tinggi mempunyai minat membaca lebih tinggi berbanding berpendidikan rendah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Tokoh Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) Negeri Selangor 2016 di Dewan Sultan Muhammad V, Kumpulan Media Karangkraf, di Shah Alam, baru-baru ini.

Kadar masih rendah

Kajian empirikal membuktikan kualiti hidup ada kaitan langsung dengan bilangan buku dibaca. Secara purata , golongan membaca sebuah buku seminggu atau hampir 50 buku setahun, didapati mempunyai taraf kualiti kehidupan yang tinggi.   

 "Di Jepun misalnya, rakyat membaca 40 buku secara purata dalam setahun. Kadar purata bacaan rakyat Malaysia kini adalah antara 8 hingga 10 buku setahun.

"Manakala kadar purata bacaan pelajar sekolah adalah 25 buku setahun," katanya.

Justeru, jika hendak dibandingkan dengan negara matahari terbit itu melalui data diperoleh, ternyata kadar membaca orang kita termasuk kalangan pelajar sekolah masih lagi rendah.

Apa pun, kita suka atau tidak, hanya membacalah kaedah terpantas memperoleh ilmu dan mendapatkan fakta.

Membaca juga memperkukuh perbendaharaan kata dan penguasaan linguistik pembaca.

Mohd Salleh berkata, ini selari dengan objektif dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) sedang dilaksanakan pihaknya. Perolehan ilmu ini diharap dapat melatih kefasihan berbicara serta menambah fakta-fakta baru dan memperlengkapkan fakta sedia ada.

"Pemikiran pembaca seterusnya dapat mempertajamkan kesedaran sivik, sosial, ekonomi, politik, sejarah dan isu-isu berbangkit masa kini.

"Pembentukan sesuatu budaya bukanlah proses mudah dengan penghasilan dan pencapaian serta-merta. Ia memerlukan proses panjang dan memerlukan semangat serta iltizam untuk memastikan ia tercapai," katanya.

Menurutnya, justeru kepimpinan sekolah dilihat sebagai ejen utama dalam pengurusan perubahan terhadap pemupukan minat membaca ini.

Katanya, penerapan sekolah sebagai organisasi pembelajaran, membantu sekolah melengkapkan warganya dengan pelbagai ilmu, kemahiran dan maklumat terkini, bagi membolehkan warga sekolah bertindak cekap, seiring dengan perubahan pendidikan dinamik dan transformasi berterusan.

Galakkan budaya pencarian ilmu

Pengetua dan guru besar harus menggalakkan semua warganya terus membaca, menimba ilmu kemahiran dan maklumat terkini secara formal atau tak formal ke arah pembentukan organisasi pembelajaran unggul.

Mohd Salleh berkata, sokongan golongan ini dalam penyediaan prasarana kondusif untuk proses pencarian ilmu akan menggalakkan budaya pencarian ilmu dan pembelajaran kalangan murid dan pelajar yang mampu melestarikan kecemerlangan sekolah.

"Di samping aktiviti dan capaian terhadap bahan, bentuk dan jenis bahan-bahan bacaan tersedia juga jadi faktor penting dalam pembentukan minat murid untuk membaca.

"Pembangunan koleksi bahan di pusat sumber sekolah perlulah mengambil kira minat murid dan pelajar secara menyeluruh," katanya.

Menurutnya, sesuai dengan zaman teknologi semasa, sudah sampai masanya untuk mula mengumpul bahan-bahan bacaan digital sebagai koleksi di pusat sumber sekolah. Malah Perpustakaan Negara (PNM) misalnya, menawarkan bahan-bahan bacaan digital di laman web mereka secara percuma.

Katanya, perkhidmatan U-Pustaka pula menyediakan kemudahan mengakses dan meminjam buku secara dalam talian dan dihantar terus ke rumah.

Mohd Salleh berkata, selain daripada pusat sumber sekolah, peranan komuniti dan keluarga dalam menyediakan bahan bacaan turut membantu secara tidak langsung dalam pembentukan minat dan budaya membaca kalangan anak-anak.

"Perpustakaan-perpustakaan desa di bawah pengurusan PNM dan Perbadanan Perpustakaan Awam negeri serta perpustakaan keluarga merupakan usaha kerajaan untuk membawa dan menyediakan bahan bacaan kepada masyarakat.

"Terima kasih kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) Perpustakaan Raja Tun Uda yang sentiasa bekerjasama dengan setiap program membaca kita anjurkan," katanya.

Menurutnya, GPS Bestari, Kumpulan Media Karangkraf merupakan rakan perkongsian strategik yang sentiasa bekerjasama rapat dalam penganjuran dan pelaksanaan aktiviti berkaitan untuk memastikan kelangsungan dan keberhasilan program galakan membaca secara keseluruhan.

Mohd Salleh turut menyarankan kepada penerbit-penerbit tempatan supaya lebih giat menghasilkan buku berkualiti dengan ciri-ciri diperlukan pelbagai pihak untuk membantu usaha melonjak purata bacaan rakyat di negara ini.

Nilam ditambah baik

Kementerian Pendidikan (KPM) melalui program Nilam dilaksanakan di semua sekolah berusaha mempertingkatkan minat membaca murid seterusnya membentuk generasi berilmu.

Mohd Salleh berkata, program Nilam telah ditambah baik mengikut peredaran zaman dengan mengambil kira pelbagai jenis bahan dan aktiviti susulan selepas aktiviti bacaan.

"Program ini juga berhasrat untuk mendorong kerjasama daripada pihak ibu bapa serta komuniti supaya berganding bahu dengan pihak sekolah bagi memastikan murid dan pelajar banyak membaca dan mendapat manfaat daripada bacaan seterusnya mempamerkan hasil bacaan mereka melalui aktiviti susulan.

"Matlamat utama Nilam ditambah baik ini untuk membentuk murid mempunyai kemahiran literasi maklumat bertanggungjawab dan beretika dalam masyarakat," katanya.

Menurutnya, murid mempunyai kemahiran literasi menjadi pelajar secara kendiri yang sedar keperluan maklumat dan berinteraksi secara aktif dalam dunia maklumat," katanya.

 Jelasnya, golongan membaca juga mampu mempamerkan kemahiran menyelesaikan masalah dan tahu mengenal pasti maklumat relevan dan sah. Mereka juga boleh mengurus alat teknologi untuk mencapai maklumat dan berkomunikasi secara berkesan.

Katanya, mereka juga lebih fleksibel dan berupaya menyesuaikan diri kepada perubahan dan melaksanakan tugas secara individu atau dalam kumpulan.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada pelajar berjaya dalam Anugerah Nilam Negeri Selangor 2016 dan berharap mereka menjadi contoh baik untuk rakan-rakan di sekolah dan pendorong menyemarakkan sikap suka membaca.

Apa pun dalam Islam sendiri sudah mengingatkan betapa pentingnya membaca. Membaca atau dalam bahasa Arab disebut Iqra'.

“Bacalah dengan nama Tuhanmu menciptakan. Yang telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Mulia. Yang telah mengajarkan manusia dengan perantaraan membaca dan menulis (Qs. Al-‘Alaq [96]: 1-5).

Hal ini menunjukkan perhatian cukup besar dari ALLAH dan betapa pentingnya erti membaca bagi manusia.

PERKONGSIAN 1

Banyakkan bahan bacaan tempat awam

Selalunya jika mereka masuk ke pusat sumber saya akan beri mereka buku atau majalah lama untuk dibaca.

Kalau pelajar yang banyak membaca kita beri button badge, sebagai hadiah dan galakan untuk mereka. Galakan ini kita berikan kepada semua tahap murid dari tahun 1 hingga tahun 6.

Biasanya tiada masalah untuk menggalakkan murid membaca kalangan sekolah rendah, kerana mereka suka membaca. Jika perpustakaan tutup pula mereka akan susah hati.

Tapi secara amnya nampak orang kita ini memang tidak suka membaca. Sebabnya entahlah... mereka tidak minat agaknya. Mungkin juga kerana mereka tiada kesedaran.

Namun walaupun tidak baca buku, dengan kemudahan teknologi maklumat (IT), mereka boleh melalui internet menggunakan e-book dan sebagainya, seperti untuk projek Nilam ini.

Tapi jika orang kita biasanya nampak suka baca bab gosip saja, berkenaan hal-hal pembacaan ilmiah nampak kurang sikit.

Harapan saya melalui program Nilam ini anak-anak kita akan lebih berilmu, berpengetahuan serta menyemai semangat dan minat untuk membaca.

Bagi menggalakkan mereka ini terus membaca, biasanya di sekolah saya juga misalnya disediakan banyak sudut bacaan.

Jika untuk menggalakkan orang ramai membaca saya tidak pastilah bagaimana. Namun biasanya jika kita hendak membaca, pastilah kita akan mencari, misalnya seperti di jualan gudang buku pihak Karangkraf adakan pada masa ini.

Mungkin juga pihak-pihak tertentu boleh bantu untuk galakkan minat membaca dengan menyediakan lebih banyak bahan bacaan di tempat awam seperti di perhentian bas, dalam Transit Aliran Ringan (LRT) dan sebagainya. - Guru Perpustakaan dan Media, SK Bandar Tasik Kesuma, Khaliza Jamaluddin, 45

PERKONGSIAN 2

Ibu bapa perlu jadi contoh

Pada pendapat saya, untuk memupuk amalan membaca kalangan anak-anak perlulah bermula daripada ibu bapa sendiri. Beri contoh dan teladan kepada anak-anak. Jika hendak anak-anak membaca, kita sendiri perlu membaca.

Misalnya kita boleh membaca pada waktu senggang dengan bahan seperti buku, akbar. Jika saya, apa-apa bahan dibaca, saya akan menulis ringkasan sedikit. Seperti saya, saya sukakan majalah islamik, apa dibaca kemudian saya akan kongsi juga dengan anak-anak, mereka juga boleh kongsi apa dibaca.

Sejujurnya saya juga banyak membaca semenjak ada anak. Bukan sahaja saya, tetapi juga isteri kerana kami hendak anak-anak juga mempunyai sikap suka membaca.

Selain itu, saya juga suka membawa anak mencintai buku misalnya dengan membaca mereka ke kedai dan pesta buku, selain perpustakaan yang kami selalu pergi.

Tak dinafikan ada ibu bapa mahu anak membaca, tetapi mereka sendiri tidak berbuat demikian, bagi saya itu sangat rugi.

Tugas ini bukan anak seorang, tetapi satu famili, guru-guru juga membantu. Kita sebagai pelengkap.

Halangan paling besar untuk membaca ini adalah TV, tapi yang memberikan ilmu tiada halangan.

Sebagai bapa dan tinggal di luar bandar, bagi saya sikap suka membaca kalangan ibu bapa sangat kurang.       

Misalnya orang kampung masa hanya banyak habis di kedai kopi tak buat apa-apa. Jika baca surat khabar pun hanya baca bab sensasi. Tapi untuk bahan ilmiah tu kurang.

Dalam Islam sendiri, pertama sekali untuk belajar kita disuruh membaca. Bagi saya membaca membaca itu penting dalam kehidupan, jadi kita perlu membaca. - Bapa, Zulhakim Munjari, 39

PERKONGSIAN 3

Banyak habis masa dengan gajet

Pada pendapat saya, minat membaca kalangan murid dan pelajar masih lagi di tahap rendah. Tidak dinafikan ada yang suka membaca, namun bilangan mereka tidak gemar membaca juga rasanya agak tinggi.

Saya rasa mereka yang tidak suka membaca ini kerana tidak minat. Jumlahnya pula dalam 65 peratus. Bila tak suka membaca ini, biasanya yang mereka banyak buat adalah seperti bermain permainan video dan menghabiskan masa dengan gajet melihat media sosial dan seumpamanya.

Sepatutnya gajet-gajet ini bukan hanya digunakan untuk bermain permainan video, tetapi boleh dimanfaatkan untuk membaca e-book dan bahan ilmiah.

Tambahan pula sekarang ini banyak e-book kadang lebih menarik daripada buku konvensional seperti dengan gambar dan, animasi dan ilustrasi menarik yang lebih menyerlah.

Seperti saya sendiri, antara e-book terbaru saya baca, Romeo and Juliet oleh William Shakespeare.

Bagi saya ibu bapa boleh mainkan peranan sebagai role model dan agen perubahan memberikan contoh terbaik kepada anak-anak dalam menyemai budaya dan suka membaca.

Jika ibu bapa jadikan membaca satu rutin dalam keluarga, ada masa terluang dipenuhi dengan membaca atau membaca bersama anak-anak sebelum tidur mungkin anak akan mengikuti teladan ini dan secara perlahan-lahan mereka sendiri akan berminat membaca.

Pada pendapat saya, budaya membaca banyak memberi faedah baik. Antara kesan positif timbul bila seseorang banyak membaca ialah mereka akan mengetahui banyak perkara baru. Ilmu mereka dapat boleh digunakan dalam kehidupan seharian. Kemahiran berfikir seseorang turut meningkat dengan baik.

Mereka juga mampu melihat dan membandingkan sesuatu perkara itu dengan lebih mendalam dan objektif. Keadaan ini membantu kita membuat keputusan betul dalam setiap tindakan.

- Pelajar, Fikri Hakimi Ismail, 16

PERKONGSIAN 4

Wujudkan perpustakaan mini

Penerbit perlu hasilkan banyak bacaan menarik untuk tarik minat anak-anak membaca. Orang dewasa pula perlu tunjukkan contoh teladan baik untuk menggalakkan anak membaca.

Usaha mewujudkan program seperti Nilam memang banyak membantu untuk beri galakan kepada mereka.

Tidak dinafikan sekarang nampak di mana-mana memang kurang orang yang membaca. Mungkin kos sara hidup tinggi juga sebabkan mereka kurang beli bahan bacaan seperti buku, majalah dan surat khabar.

Bagi saya sebagai ibu kita perlu tunjukkan contoh baik sebagai galakan membaca untuk anak-anak. Wujudkan ruang membaca atau perpustakaan mini dan beli banyak bahan bacaan.

Mungkin boleh juga buat pertandingan siapa paling banyak membaca antara anak, beri buku sebagai hadiah. - Ibu, Kamisah Othman

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GURUN - Seramai 1,500 murid sekolah rendah terpilih dari daerah Kuala Muda, Yan, Kota Setar, Baling, Sik dan Pendang di Kedah menerima sumbangan berbentuk beg serta kelengkapan sekolah melalui Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP), baru-baru ini.
  • BALING - Bagi meningkatkan kualiti pendidikan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Baling menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pertukaran pelajar bersama Sekolah Menengah Pertama (SMP) Muhammadiyah 12 Gresik, Jawa Timur Indonesia, baru-baru ini.
  • REMBAU - Sebanyak lima sekolah yang dikenal pasti berdepan masalah bangunan usang di negeri ini akan mendapat bangunan baharu yang dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) tahun ini.
  • JABATAN Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) melatih seramai 1,098 guru daripada 267 sekolah menengah di negeri ini untuk menguasai ilmu dan kemahiran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik Johor (STEM-J).
  • SEKOLAH Kebangsaan (SK) Seri Bidor bertuah kerana terpilih antara 30 sekolah di Perak yang menerima bantuan Caltex dan Yayasan Mykasih menerusi kempen Fuel Your School yang diadakan 8 November lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.