SERAMAI 300 pelajar Tingkatan Tiga dan Lima dari dua buah sekolah di daerah ini menyertai Bengkel Menjawab Soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Subjek Sains.

Program anjuran Empower Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu melibatkan calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benta serta calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Setiawangsa yang bakal menghadapi peperiksaan penting hujung tahun ini.

Guru cemerlang dari Kuala Terengganu, Hamzah Othman dijemput bagi memberi ceramah kepada pelajar terlibat.

Hadir merasmikan program, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lipis, Hassan Basri Shamsuddin.

Pengarah Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia selaku rakan strategik ECERDC untuk Program Empower Ecer, Surin Kanda berkata, pelajar  terlibat merupakan pelajar Empower dan juga pelajar yang terpilih daripada sekolah daerah ini.

“Bengkel ini dijalankan untuk memantapkan lagi penguasaan pelajar dalam mata pelajaran Sains serta memberi pendedahan tentang kaedah menjawab soalan-soalan KBAT bagi PT3 dan SPM .

“Kita juga berharap dengan adanya program seperti ini dapat membantu pelajar memperoleh keputusan cemerlang  dalam PT3 dan SPM hujung tahun ini,” katanya di sini.

Sementara itu, Hassan Basri berkata, beliau menyokong usaha yang dilakukan Empower Ecer bagi memberi pendedahan teknik menjawab soalan berasaskan KBAT, selain turut menampilkan guru-guru berpengalaman.

“Bengkel ini mengetengahkan guru cemerlang serta berpengalaman, sekali gus memberikan pemahaman yang menyeluruh kepada pelajar.

“Justeru, kita harap pelajar memperoleh input berguna sepanjang bengkel, sekali gus membantu calon memperoleh keputusan cemerlang dalam PT3 dan SPM,” katanya.

 

Persediaan hadapi peperiksaan penting