BATU PAHAT - Seramai 184 murid Tahun 1 hingga 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Jelutong, Parit Raja, di sini, menerima sumbangan kelengkapan persekolahan daripada Takaful Ikhlas Berhad (Takaful Ikhlas).

Syarikat berkenaan yang merupakan anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) memberi sumbangan melalui program Ikhlas Untuk Komuniti, bersempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2018 (MSAM 2018).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Ab Latiff Abu Bakar berkata, pemberian sumbangan berkenaan diberikan kepada murid daripada keluarga yang berpendapatan bulanan di bawah RM3,000 sebulan.

Menurutnya, sumbangan RM250 seorang meliputi beg, pakaian seragam, kasut, stoking dan alat tulis.

“Kami berharap dengan adanya sumbangan ini, ia akan membantu murid berkenaan untuk terus bersemangat hadir ke sekolah.

“Sumbangan kami ini untuk menerapkan semangat tolong menolong selaras dengan sistem takaful yang berteraskan konsep kerjasama dan tanggungjawab membantu antara satu sama lain,” ujarnya.

Katanya, murid sekolah berkenaan juga diperkenalkan dengan permainan kewangan yang dinamakan MNRB Ringgit Savvy.

Menurutnya, permainan itu memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan menabung dan  asas pengurusan wang.

“Mereka juga dihidangkan makanan dan dihiburkan dengan penampilan maskot Omar dan Hana serta Takaful Ikhlas juga menyumbang buku dan bahan rujukan sebanyak 100 naskhah kepada perpustakaan sekolah itu,” katanya.