GURUN – Seramai 1,500 murid sekolah rendah terpilih dari daerah Kuala Muda, Yan, Kota Setar, Baling, Sik dan Pendang di Kedah menerima sumbangan berbentuk beg serta kelengkapan sekolah melalui Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP), baru-baru ini.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad berkata, program yang memasuki tahun kedua itu bertujuan mempromosikan pembangunan modal insan di samping menyokong usaha kerajaan memantapkan pendidikan.

Menurutnya, program juga berlangsung bersempena Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau lebih dikenali STEM Fair yang merupakan acara kemuncak aktiviti PSIP.

“Usaha menjayakan program ini yang berteraskan STEM adalah selaras dengan objektif Jabatan Pendidikan Negeri untuk melengkapkan murid dengan kemahiran  diperlukan sebagai persediaan menghadapi masa depan yang mencabar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd, Sarun Selamat berkata, STEM Fair adalah inisiatif Pelaburan Sosial Korporat (CSI) Petronas yang memberi didikan serta pendedahan awal walaupun masih di peringkat sekolah rendah.

Menurutnya, program yang berlangsung di Dewan Agrenas, Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd itusebagai menyokong usaha kerajaan memupuk minat dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

“Melaluinya, ia bukan sahaja mampu mempertingkatkan tahap akademik murid dalam subjek terpilih, malah mengharapkan ia boleh memberi impak positif dalam membentuk sahsiah diri ke arah kecemerlangan,” katanya.

Pemberian beg dan kelengkapan sekolah kepada 1,500 murid adalah kerjasama Petronas, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.