BRUSSELS - BELGIUM. Ketua Pegawai Eksekutif syarikat media sosial gergasi Facebook, Mark Zuckerberg, semalam memohon maaf kepada Parlimen Eropah kerana 'kemudaratan' yang berpunca daripada skandal penyalahgunaan data pengguna dan kegagalan menangani penyebaran berita palsu.

"Kami tidak mengambil langkah sewajarnya untuk menghalang alat ini disalahgunakan pihak tertentu.

"Sama ada ia berita palsu, campur tangan asing dalam pilihan raya atau pemaju menyalahgunakan maklumat pengguna, kami gagal mengambil tanggungjawab penuh dan ia adalah kesilapan saya. Saya minta maaf," katanya ketika memberi keterangan di hadapan pemimpin blok tersebut di Brussels.

Permohonan maaf secara rasmi itu dibuat beberapa bulan selepas firma perunding politik, Cambridge Analytica didakwa 'mencuri' data 87 juta pengguna Facebook termasuk 2.7 juta di Kesatuan Eropah (EU).

Bulan lalu, beliau turut meminta maaf kepada Senat Amerika Syarikat atas kesilapan tersebut dan Facebook bertindak menggantung lebih 200 aplikasi di platformnya sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas pihak ketiga yang didakwa boleh mengakses data pengguna. - AFP