TEL AVIV - ISRAEL. Rejim Israel mengerahkan unit kereta kebalnya ke Semenanjung Gaza bagi membendung protes mingguan di sepanjang pagar yang memisahkan wilayah diduduki dengan wilayah Palestin yang dikepung.

Menurut laporan media, kira-kira 60 kereta kebal ditempatkan di sepanjang pagar Gaza dengan menjangkakan demonstrasi baru pada hari ini.

Pengerahan tentera itu dianggap terbesar sejak serangan Israel pada 2014 di sekeliling tanah pesisir

Pengerahan terkini itu dianggap sebagai terbesar sejak serangan Israel ke atas Gaza pada 2014, yang menyaksikan lebih daripada 2,200 orang Palestin mati.

Keputusan itu diambil selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat Kabinetnya awal Rabu dan berjanji untuk mengambil tindakan agresif jika 'serangan' Palestin berterusan.

Kenyataan itu dibuat selepas tentera Israel mendakwa bahawa sebuah roket dilancar dari Gaza telah jatuh di kota Beersheba di Gurun Negev.

Seorang pegawai perubatan memberitahu Radio Israel bahawa tiga orang dibawa ke hospital selepas serangan roket tersebut.

Bagaimanapun, kumpulan penentang Palestin menafikan sebarang penglibatan dalam serangan itu.

Penduduk Palestin mengadakan protes mingguan setiap Jumaat sejak 30 Mac lalu, bagi menuntut hak pulang ke kampung halaman yang dirampas Zionis.

Sejak itu, lebih 200 rakyat Palestin maut ditembak tentera Israel manakala lebih 3,000 lagi cedera. - Press TV