SYDNEY - AUSTRALIA. Kegembiraan menyambut kejayaan misi menyelamat 12 remaja Thai dan jurulatih bola sepak mereka bertukar duka buat salah seorang wira yang terlibat dalam operasi berkenaan apabila menerima berita kematian ayahnya.

Richard Harris, pakar bius dari Adelaide yang bertanggungjawab memantau keadaan mangsa sepanjang berada dalam gua, menerima berita sedih mengenai kematian bapanya tidak lama selepas operasi penyelamatan tamat.

Harris, yang juga seorang penyelam berpengalaman dilaporkan adalah orang terakhir meninggalkan gua berkenaan semalam.

Dikenali sebagai 'Harry' dalam kalangan peneroka gua antarabangsa, beliau membatalkan cutinya demi membantu operasi membawa keluar 12 remaja berusia 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka berusia 25 tahun yang terperangkap selama 18 hari dalam gua Tham Luang sejak 23 Jun lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Budak terakhir dan jurulatih berjaya dibawa keluar]

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi menyelamat budak bola berakhir ]

"Dengan amat sedih, saya mengesahkan bapa Harry meninggal dunia tidak lama selepas kejayaan operasi menyelamat di Thailand.

"Saya sudah bercakap dengan Harry. Jelas, ia saat menyedihkan bagi Harry dan keluarga, ditambah dengan tuntutan fizikal dan emosi menjadi sebahagian operasi menyelamat yang sukar," kata ketua perkhidmatan klinikal di SAAS MedSTAR, Andrew Pearce.- AFP