Whitney Houston tiada galang ganti
$entry.content.caption.value

Sabtu lalu, peminat digemparkan dengan pemergian Ratu Pop legenda, Whitney Houston, 48, yang pernah menguasai dunia muzik Amerika Syarikat sekitar 1980-an dan 1990-an.

Penyanyi berbakat besar itu, ditemui mati di hotel di Berverly Hills, Los Angeles, pada jam 3.55 pagi.

Sehingga kini punca kematiannya masih disiasat. Pun begitu, timbul pelbagai spekulasi apabila kematiannya dikatakan mirip Raja Pop, Micheal Jackson kerana terdapat campuran ubat-ubatan di tempat kejadian.

Lebih menyedihkan, penyanyi, I Will Always Love You ini, ditemui mati dengan kepalanya tenggelam dalam tab mandi. Disemadikan di Westfield, New Jersey, bintang legenda ini punya pengaruh tersendiri dalam dunia seni.

Mengimbas kembali perjalanan seni, anak kelahiran Newark, New Jersey ini, mula berjinak-jinak dalam bidang muzik seawal usia 11 tahun lagi.

Mengikut jejak ibunya, Emily Scissy Houstan yang juga seorang penyanyi, Whitney, aktif mengadakan pelbagai persembahan di sekitar gereja.

Persembahan pertamanya, Guide Me, O Thou Great Jehovah, mampu membuka mata orang ramai terhadap bakat terpendamnya. Tidak terhenti di situ, bakatnya terus dicungkil oleh pemuzik terkenal Gladys Knight dan Roberta Flack, sehingga melahirkannya sebagai penyanyi.

Walaupun bermula di kelab, namun siapa sangka nasibnya berubah dari hari ke hari.

Ketika umurnya 14 tahun, dia dilamar sebagai penyanyi latar untuk Michael Zager Band, menerusi lagu Life’s a Party. Setahun kemudian, dia bekerjasama pula dengan Chaka Khan menerusi lagu I’m Every Woman.

Tuah mula menyebelahinya bila lagu itu menjadi hit dan diangkat sebagai soundtrack bagi filem The Bodyguard. Pada tahun itu juga, dia turut diundang menjadi penyanyi latar kepada Lou Rawls dan Jermaine Jackson.

Bakatnya semakin menyinar selepas menandatangani kontrak sebagai artis rakaman, Arista Records. Muncul dengan dua lagu, Love Language dan Hold Me, duet bersama Teddy Pendergrass, pada 1984, nyata percaturannya menjadi apabila kedua lagu itu mendapat sambutan hebat.

Selain turut mengungguli Top 5 bagi carta R&B hit di Amerika.

Pecah dominasi 'kulit putih'

Bercerita mengenai kejayaan Diva Pop ini, Whitney, adalah penyanyi wanita Afrika-Amerika pertama tercalon bagi carta MTV yang pada ketika itu didominasi penyanyi rock kulit putih.

Album debutnya yang berjudul, Whitney Houston, antara yang tertinggi terjual sebagai seorang penyanyi solo malah dia menduduki tempat pertama dalam carta, Billboard 200.

Dia juga satu-satunya penyanyi yang berjaya mempertaruhkan tujuh single pada peringkat pertama di tangga Billboard, Hot 100, sehingga mematahkan rekod enam kali yang dipegang, The Beatles dan Bee Gess.

Kerana kejayaannya dalam bidang seni suara, ia sekali gus membuka pintu bagi penyanyi Afrika-Amerika yang lain, khususnya di kalangan wanita untuk terus sukses dalam dunia muzik. Malah, selepas itu dia turut diberikan gelaran The Voice. Pembabitannya dalam industri ini, dilihat sangat cemerlang memandangkan pelbagai anugerah diterima.

Antaranya termasuklah 13 rekod platinum, Golden Boot Award, Europe 1 Award, Ole Award, dua BMI Citations of Achievement, lagu terbanyak diputarkan di radio sepanjang tahun, Grammy Award bagi lagu Cupid dan I’ve Loved You for a Long Time serta Producer Of The Year oleh Golden Music Awards, di Nashville, Tennessee.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.