ISLAMABAD - PAKISTAN. Seorang wanita Pakistan beragama Kristian dibebaskan dari penjara seminggu selepas Mahkamah Agung membatalkan sabitan dan hukuman mati ke atasnya kerana didakwa menghina Islam.

Menerusi laporan Reuters, sumber kerajaan berkata, wanita itu kini berada di satu lokasi selamat kerana dibimbangi akan menjadi mangsa serangan pihak tertentu.

Pembebasan Asia Bibi, ibu kepada lima anak mencetuskan kemarahan dari parti radikal Islam yang mengancam mahu melumpuhkan kegiatan harian seluruh negara dengan tunjuk perasaan jalanan jika hukuman itu tidak diteruskan.

Bibi, 53 disabitkan dengan kesalahan menghina Islam pada 2010 selepas mengeluarkan kata-kata kesat mengenai agama itu apabila dihalang meminum air dari gelas milik jiran-jirannya kerana beragama Kristian.

Dia menafikan semua pertuduhan berkenaan.

Kes terbabit mendatangkan kemarahan penduduk Kristian seluruh dunia dan Paus Francis dalam pertemuan dengan keluarga Bibi awal tahun ini memberi jaminan akan sentiasa mendoakan wanita berkenaan manakala kerajaan Itali pada Selasa lalu berkata, akan cuba membantu Bibi yang berfahaman Katholik, meninggalkan Pakistan.

Kesalahan menghina Nabi Muhammad SAW membawa kepada hukuman mati mandatori di Pakistan yang terdiri daripada 95 peratus penduduk beragama Islam dan minoriti penduduk Kristian dianggarkan berjumlah 2 peratus dari jumlah keseluruhan rakyat.

Tiga pegawai keselamatan awal pagi ini memberitahu Bibi sudah dibebaskan dari penjara di Multan, sebuah bandar di selatan wilayah Punjab.

Dia diterbangkan ke lapangan terbang berhampiran ibu negara, Islamabad namun berada dalam perlindungan kerana ancaman terhadap keselamatannya, kata kesemua pegawai berkenaan yang enggan diketahui.