• FARUSH KHAN
1 /

Bob ada ramai kawan; musuh pun ada juga.

Ramai kawan sebab beliau hormat sesiapa sahaja yang beliau berasa patut dihormati dan sedia membantu mereka yang memerlukan.

Namun, ada juga yang tidak selesa dengan kehadiran Bob sebab beliau suka terjah, kalau bercakap tidak berlapik, tak makan saman dan jenis ofensif. Mungkin beliau belajar konsep selalu diamalkan sesetengah orang politik, iaitu the best form of defence is to attack (bentuk pertahanan terbaik adalah menyerang).

Orangnya sangat sederhana. Kecuali menghadiri mesyuarat rasmi yang memerlukannya memakai kot dan tali leher, Bob selalunya bersinglet putih dan berseluar lusuh.

Di mana sahaja, di mesyuarat rasmi atau di kedai kopi, nada suara dan bunyi bahasa Bob sama sahaja.

Patutlah rakan-rakannya, secara berseloroh, selalu berkata Bob tidak ‘layak’ jadi datuk, walaupun, memandang kepada jasa baktinya kepada masyarakat, barangkali sudah lama patut terima anugerah itu.

“Kalau jadi datuk, dia kena tukar gaya hidup dan cara cakap,” kata rakannya.

Bob pun tidak mahu anugerah datuk. Beliau lebih suka diberi pingat Jaksa Pendamai (JP). (JP ada kuasa yang tidak melebihi kuasa majistret kelas kedua dan diberi kepada individu yang biasanya berjaya membawa kedamaian dalam kalangan masyarakat. Masyarakat
biasanya mendapatkan khidmat JP untuk tandatangan borang biasiswa dan pengesahan sijil).

Pada firasat saya, memang Bob layak dapat JP. Beliau sudah banyak menabur jasa kepada masyarakat.

Ada sahaja laporan bencana; kebakaran, kemalangan, sakit demam dan apa sahaja kes memerlukan bantuan dan perhatian di kawasannya, Bob antara yang pertama sampai bersama kawan-kawannya, dengan membawa bersama sumbangan makanan atau wang ringgit.

Kepalanya pernah dilibas ranting ketika hendak menolong mangsa ribut, hingga pengsan tiga hari. Ramai menziarahinya di wad kecemasan.

Baru-baru ini, beliau mengambil risiko selamatkan seorang penyamun dari dibelasah teruk oleh sekumpulan penduduk yang berjaya menangkapnya.

Minggu lalu, seorang warga emas hampir kena tahan di lokap kerana tidak dapat mengumpulkan RM150 untuk bayar denda kesalahan jalan raya. Walaupun tidak mengenali orang tua itu, Bob membayar bagi pihaknya.

Baik macam itu pun, Bob masih tidak terlepas daripada fitnah.

“Saya dapat surat layang, tuduh saya dapat tanah luas dan projek lembu kambing.

“Memang betul. Saya diberi tugas urus tanah kubur. Siapa mahu pun boleh. Satu lot cuma RM400 lebih,” katanya, separuh berang, separuh berseloroh.

Projek ternakan itu pula. katanya, dijalankannya dengan rakan-rakan bagi pihak koperasi.

Berusia lebih 50 tahun, Bob, bapa kepada anak yang cukup untuk ditubuhkan sepasukan bola sepak, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

Beliau pernah jadi pembantu pejabat, kerani, sebelum menjadi pegawai dan macam-macam lagi. Isterinya pegang jawatan tinggi, ramai daripada anaknya berkhidmat dengan kerajaan, tetapi beliau mempunyai pendirian sendiri, biarpun bertentangan dengan kepentingan diri dan keluarga.

“Saya tidak setuju dengan pihak yang asyik minta kenaikan gaji, tambah umur bersara dan pengambilan pakar ke dalam jabatan,” katanya.

Menurut Bob, tingkat gaji yang ada sekarang sudah cukup tinggi berbanding dengan peranan dimainkan, sementara tambahan usia persaraan hanya akan menyekat peluang orang lain untuk naik pangkat dan menambah bilangan penganggur.

“Nak ambil boleh, tapi biar pakar seperti saintis dan sebagainya, bukan guru besar atau pegawai biasa,” beliau mengomel.

Bob lebih pantang dengan orang yang suka ambil kesempatan mendapatkan bantuan berlebih-lebihan daripada kerajaan atau wakil rakyat.

Mereka ini asyik perah wakil rakyat tanpa rasa simpati, sedangkan wakil rakyat sudah siang malam berhempas-pulas mencari idea dan dana untuk membantu rakyat.

Kalau saya jadi pemimpin parti politik, orang macam Bob pasti awal-awal lagi saya masukkan dalam senarai calon boleh menang.

Bayangkan, beliau bukan wakil rakyat, tetapi prihatin, rajin turun padang dan tidak teragak-agak keluarkan duit sendiri untuk membantu. Apa lagi kalau sudah jadi wakil rakyat.

Sebelum terlupa, Bob beritahu, beliau sentiasa memegang erat tiga amalan; tidak tinggal solat, hormat ibu bapa dan jangan takut bersedekah.

“ALLAH akan bayar tunai di dunia lagi kepada mereka yang menunaikan tiga amalan itu,” kata Bob, yakin.

Itu pegangan dan amalan Bob. Kita tentu mempunyai amalan yang menjadi pegangan masing-masing.

Justeru, menjelang tahun baru ini, ada baiknya kita memperbaharui azam untuk melakukan yang terbaik untuk melihat masa hadapan kita di tanah tumpah darah kita cintai ini.