KEPUTUSAN China melarang import sisa asing termasuk beberapa plastik telah memberi ‘wake up call’ kepada dunia bahawa operasi kitar semula di negara lain kini bergelut untuk menangani realiti baharu.

Beberapa pakar berpendapat, negara maju akhirnya akan berdepan ‘kos sebenar’ akibat penggunaan plastik tanpa had dan bukan mengambil jalan mudah dengan cara menghantar ‘masalah’ mereka kepada Beijing yang terpaksa menanggung beban hampir separuh sisa sampah dunia sejak 1992.

Ia bukan hanya merangsang pelaburan dalam kemudahan kitar semula domestik malah inovasi dalam pembuatan plastik untuk menjadikannya produk lebih sesuai ditebus semula.

Selain itu, ia juga dapat menyemarakkan kempen awam untuk mengubah budaya ‘buang sampah’ dalam kalangan masyarakat.   

Keputusan China melarang import 24 kategori sisa pepejal termasuk beberapa jenis plastik, kertas dan tekstil bermula 31 Disember 2017 adalah kerana Beijing bimbang dengan kesannya ke atas alam sekitar serta kesihatan.

Masalah lain adalah kualiti sisa import tersebut yang menjadikannya sukar untuk dikitar semula, sekali gus menjejaskan keuntungan syarikat terlibat di Beijing.

Larangan itu berkuatkuasa pada Januari lalu dan kesannya kini dikaji semula.

Dalam satu kajian terbaharu diterbitkan dalam Science Advances pada bulan lalu, saintis dari Universiti of Georgia mendapati 111 juta tan metrik sisa plastik akan ‘ditolak’ oleh dasar baharu China pada 2030 yang mana kesemua sampah sarap tersebut terpaksa dihantar ke tempat lain.

Ia sememangnya memberi kesan besar kepada Amerika Syarikat (AS) yang mana beberapa majlis perbandaran tidak lagi mengutip bahan tertentu atau menghantarnya ke tapak pelupusan sampah.

Larangan itu turut mendedahkan kelemahan sistemik dalam proses kitar semula di Washington di mana ia telah memperkenalkan sistem kitar semula aliran tunggal yang mencampurkan kertas, besi, kaca dan plastik.

Beberapa negara maju bertindak balas dengan larangan itu dengan menghantar sisa milik mereka ke negara Asia Tenggara.

Tetapi, pakar melihat sebahagian negara terbabit tidak mempunyai kapasiti untuk menangani lambakan sisa terbabit memandangkan mereka juga telah mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan sendiri.

Pihak berkuasa Eropah bagaimanapun mencari alternatif untuk berdepan masalah itu.

Suruhanjaya Strategi Plastik Eropah yang diumumkan pada Januari lalu memaklumkan ia merancang untuk menjadikan kesemua plastik pembungkusan boleh dikitar atau diguna semula menjelang 2030 yang mana ia dapat mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Geologi dan Sains di Universiti New York di Fredonia, Sherri Mason berkata, plastik yang mempunyai pelbagai kegunaan dan formulasi adalah lebih sukar untuk dikitar semula berbanding bahan lain seperti kaca dan aluminium.

Jelasnya, ramai pengguna cuba untuk mengguna semula produk plastik yang tidak boleh dikitar semula

“Salah satu penyelesaian adalah menggunakan plastik untuk menghasilkan produk. Tetapi, kebanyakannya adalah plastik guna sekali,” ujarnya.

Industri kitar semula di AS juga mencadangkan kegunaan baharu plastik atau reka bentuk produk yang memudahkan ia untuk dikitar semula.