KAHERAH - MESIR . Ketua Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA),semalam merayu dana untuk menangani krisis kewangannya berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) menghentikan bantuan.

Menurut ketua UNRWA, Pierre Krahenbuhl, agensi itu kini mengalami krisis kewangan terburuk sejak penubuhannya.

“Kami masih memerlukan AS$200 juta (RM829.86 juta) untuk menampung defisit tahun ini,” kata Krahenbuhl.

AS adalah penyumbang terbesar bajet agensi itu pada 2017 dengan sumbangan bernilai AS$350 juta (RM1.45 bilion).

Bagaimanapun, bulan lalu Jabatan Negara AS berkata, ia tidak lagi akan menyumbang kepada agensi yang dianggap 'merugikan' itu.

Dalam pada itu, untuk menampung kekurangan itu, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar masing-masing berjanji menyumbang AS$50 juta (RM207.47 juta) kepada UNRWA.-AFP