Umar Patek
$entry.content.caption.value

JAKARTA - Umar Patek, yang didakwa mendalangi perancangan letupan bom di Bali dan Jakarta satu dekad lalu, menafikan pernah mengadakan pertemuan dengan ketua rangkaian pengganas Al-Qaeda, Osama Bin Laden di Pakistan.

Rakaman video siasatan yang didedahkan agensi berita AP menunjukkan, Umar memberitahu pihak berkuasa bahawa kehadirannya dan juga Osama di Abbottabad adalah secara kebetulan.

Umar berhadapan dengan enam tuduhan termasuk dua yang berkaitan dengan keganasan.

Laporan itu menyebut dia dipercayai anggota utama kumpulan Jemaah Islamiah yang ada kaitan dengan Al-Qaeda.

"Dia pergi ke Pakistan dalam usaha untuk berhijrah ke Afghanistan. Dia tidak pernah merancang untuk bertemu dengan Osama bin Laden," kata peguam pembela, Asludin Hatjani dipetik laporan AFP.

BBC dalam laporannya berkata, penganalisis keselamatan percaya penahananya di bandar yang sama, Osama ditembak mati, bukan secara kebetulan. 

Pun begitu, pegawai-pegawai tidak boleh mengesahkan sama ada kedua-dua mereka pernah mengadakan pertemuan.

Umar ditahan pada Januari 2011 di bandar di mana Osama ditembak mati dalam serbuan Amerika Syarikat. Osama ditembah mati Mei lalu.

Dia berhadapan dengan pembunuhan dirancang terlebih dahulu, membuat bom dan memiliki senjata secara tidak sah. 

Sebahagian tuduhan itu membawa hukuman mati jika disabit kesalahan. Dia diekstradi ke Indonesia pada Ogos lalu.

Umar, 45, juga berhadapan dengan tuduhan membunuh ekoran kejadian letupan bom di Bali pada 2002 dan di gereja di Jakarta dua tahun sebelum itu.

Semalam, peguam-peguamnya membantah tuduhan bunuh dengan menegaskan, dia tidak pernah terlibat dalam perancangan melakukan serangan.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.