SENTIASA diburu dan menjadi mangsa pemuas nafsu serakah askar Myanmar antara igauan ngeri golongan wanita Rohingya di Rakhine, Myanmar.

Kejadian itu dialami, Shunabi, 25, yang menjadi mangsa rogol lima askar Myanmar ketika kampungnya diserang tentera sebelum ini.

“Kampung saya dibakar, sementara itu saya yang ketika itu tidak sempat melarikan diri diseret askar Myanmar.

“Saya dirogol dan selepas itu payudara saya dipotong, hampir setiap malam saya tidak dapat lelapkan mata, kesakitan itu dirasai sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kem Pelarian Rohingya di Balukhali, Cox’s Bazar, Bangladesh.

Mujurlah katanya, dia tidak dibunuh sebaliknya dilepaskan.

“Akhirnya selepas askar pergi dari situ saya lari selamatkan diri,” katanya yang berjaya menaiki bot untuk ke sempadan Bangladesh.

Dalam pada itu, katanya antara kekejaman askar Myanmar adalah menembak kanak-kanak, selain membakar rumah.

“Ada juga anak jiran saya yang dibakar selepas mereka mencurahkan petrol ke badannya,” katanya.

Sementara itu Fattma,30, juga trauma dan mengalami alami nasib sama seperti Shunabi.

“Kami akan dipukul jika melawan, mereka (askar), perlakuan kami seperti haiwan, kami tiada nilainya bagi mereka,” katanya.

Kongsinya, tiada lagi tempat selamat bagi wanita untuk terus tinggal di bumi Myanmar.

“Kami sentiasa diburu, perasaan takut sentiasa menghantui kami...Jika tentera datang habislah kami semua,” katanya.

Balukhali yang juga antara kem pelarian tumpuan di Ukhia, Cox’s Bazar mempunyai lebih 48,000 pelarian Rohingya dengan lebih separuh darinya adalah pelarian yang baru tiba dari barat Myanmar sejak 25 Ogos lalu.

Askar Myanmar didakwa membakar rumah etnik Rohingya untuk menghalau mereka keluar dari negara majoriti penganut Buddha itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • YANGON - MYANMAR. Myanmar dan Bangladesh bersetuju menghantar pulang penduduk Islam Rohingya dalam tempoh dua tahun, garis masa pertama penghantaran balik ratusan ribu pelarian di Dhaka.
  • SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mencadangkan supaya dana SINAR4ROHINGYA disalur untuk projek bantuan pendidikan bagi membantu pelarian Rohingya yang kini sedang ditindas.
  • NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Penasihat Myanmar, Aung San Suu Kyi sekali lagi mengelak untuk beri sebarang komen tentang laporan yang mendakwa wanita dan remaja Rohingya di negeri Rakhine dirogol tentera kerajaan.
  • COX’S BAZAR - BANGLADESH. Siapa sangka, kehadiran empat wakil Mapim ke kem Pelarian Balukali, di sini rupa-rupanya amat dinantikan puluhan kanak-kanak.
  • COX'S BAZAR - BANGLADESH. Sebahagian besar pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh enggan pulang ke Myanmar walaupun perjanjian penghantaran pulang sudah dicapai.