PALMA DE MALLORCA - SEPANYOL. Tsunami kecil telah mencetuskan huru hara di Majorca dan Menorca yang terletak di Kepulauan Balearic di timur Sepanyol, kelmarin.

Gelombang setinggi 1.5 meter (m) itu turut menenggelamkan pantai, restoran, jalan di pusat peranginan tersebut.

Fenomena cuaca itu digelar sebagai meteotsunami atau rissaga dalam bahasa Catalan-Sepanyol menyebabkan banjir di Ciutadella di pantai barat Menorca dan Alcudia di utara Majorca.

Rakaman yang menjadi tular di media sosial menunjukkan pemilik kapal berhempas pulas mengawal bot mereka supaya tidak terlepas.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Difahamkan, fenomena itu berlaku akibat gangguan dalam tekanan udara yang disebabkan oleh pergerakan pantas cuaca seperti ribut petir.

Sebelum ini, meteotsunami yang pernah direkodkan mencapai 1.8 m atau lebih. - Agensi