SACRAMENTO - CALIFORNIA. Gabenor California, Jerry Brown menyalahkan Presiden Donald Trump ekoran kebakaran hutan paling buruk di negeri itu.

Brown berkata, langkah Trump menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris 'menyumbang' kepada bencana di Selatan California yang kini telah memasuki minggu kedua.

Perjanjian Iklim Paris dianggap pelbagai pihak sebagai satu usaha yang mampu memperlahankan pemanasan global.

Sehingga semalam, ratusan ribu penduduk di Ventura, Los Angelas dan San Diego serta beberapa bandar berdekatan dipindahkan ke kawasan selamat.

Media tempatan melaporkan, pasukan bomba berdepan kesukaran untuk membendung kebakaran hutan yang diburukkan lagi dengan cuaca panas dan tiupan angin kencang.

Difahamkan, api merebak pantas selepas angin kering dan panas mirip angin Santa Ana di selatan California bertiup ke kawasan utara California ke arah Pasifik.

"Trump sebelum ini menganggap Perjanjian Iklim Paris tidak membawa sebarang manfaat kepada AS.

"Tengok sekarang, apa sudah jadi?  Saya fikir Trump tidak takut pada Tuhan..tak takut balasan Tuhan," ujar Brown.

Pada Jun lalu, Trump membuat kejutan apabila membuat keputusan meninggalkan perjanjian iklim Paris, yang turut disertai 195 negara lain di dunia.

Untuk rekod, AS tidak pernah menerima pakai perjanjian iklim sebelum ini, termasuk Protokol Kyoto 1997, yang dilihat menjejaskan kredibiliti dan kuasanya mengawal pelepasan karbon. - 60 Minutes