WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Donald Trump dilaporkan mengecam bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey menerusi Twitter semalam.

Trump berkata Comey patut dipenjarakan berhubung pembohongannya kepada kongres serta pendedahan maklumat sulit.

Presiden itu turut mengutuk memoir terbaharu Comey berjudul 'A Higher Loyalty: Truth, Lies and Leadership' yang dikatakan menimbulkan pelbagai 'persoalan besar'.

Buku itu menceritakan pengalaman Comey bersama Trump yang disifatkan sebagai ketua samseng yang menuntut sumpah setia daripadanya.

"Saya tidak pernah meminta Comey setia kepada saya. Saya tidak begitu mengenalinya. Ia merupakan satu lagi pembohongannya. Memoir itu palsu!" ujar Trump.

Bekas pengarah FBI itu turut dilabel sebagai pengarah paling teruk setakat ini.

Menjawab kecaman Trump, Comey berkata Trump bukan satu-satunya subjek di dalam buku yang berkisar tentang kepimpinan beretika itu. - BBC