PARADISE - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini tiba di California bagi meninjau sendiri kawasan yang dilanda kebakaran hutan terburuk pernah dialami dalam sejarah negeri itu.

71 kematian direkodkan setakat Jumaat lalu dalam kebakaran dikenali dengan nama Camp Fire di utara California itu, manakala lebih 1,000 orang dilaporkan hilang.

[ARTIKEL BERKAITAN: Angka penduduk hilang meningkat lebih 1,000 orang]

[ARTIKEL BERKAITAN: Camp Fire musnahkan kediaman selebriti terkenal]

Bercakap di bandar Paradise yang musnah teruk, Trump berkata, Camp Fire menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan besar, dan beliau turut mengulangi dakwaan bahawa pengurusan hutan yang lemah adalah punca kebakaran terjadi.

"Kita harus meningkatkan penyelenggaraan hutan dan bekerjasama dengan kumpulan alam sekitar bagi mengelak tragedi seperti ini berulang.

Ditemani dua gabenor parti Demokrat, Jerry Brown dan Gavin Newsom, Trump turut meluangkan masa menemui mangsa kebakaran dan pihak berkuasa tempatan serta pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran dan mencari mangsa.

Beliau turut menyatakan fokus utama buat masa ini adalah membantu mangsa yang terkesan.

Dalam pada itu, beberapa orang dilaporkan jatuh sakit akibat wabak norovirus yang tersebar di pusat perlindungan dan kualiti udara di utara California berada pada tahap paling teruk.

Hujan lebat yang dijangka turun minggu hadapan akan membantu memadam kebakaran, namun ia juga mendatangkan risiko banjir dan tanah runtuh di lereng bukit.

Selain Camp Fire, AS turut bergelut dengan kebakaran lain termasuk kebakaran Woolsey berhampiran Los Angeles yang telah meragut tiga nyawa.- BBC