SINGAPURA - Sebuah tren SMRT bertembung dengan sebuah kereta api yang tidak bergerak di stesen MRT Joo Koon hari ini, mengakibatkan 25 penumpang cedera, demikian menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Menurut SCDF ia dimaklumkan pada kira-kira 8.33 pagi mengenai kemalangan itu di stesen yang menghala arah barat ke Tuas Link. Terdapat lima perhentian ke stesen Tuas Link dari stesen  Joo Koon.

Stesen Joo Kon berada di Laluan Timur-Barat, yang lebih popular dirujuk sebagai Green Line, dan mempunyai 35 stesen di antara Tuas Link dan Lapangan Terbang Changi.

Para penumpang yang cedera dihantar ke hospital, kata SCDF sambil menambah kebanyakan mereka mengalami kecederaan ringan.

Menurut pengendali tren, SMRT, semua tren beroperasi seperti biasa walaupun berlaku insiden itu tetapi menambah penumpang mungkin menghadapi sedikit kelewatan antara 10 hingga 30 minit menghala ke stesen Tuas Link, stesen terakhir Green Line di sebelah timur.

Setakat jam 1 tengah hari, perkhidmatan bas percuma disediakan secara berkala di antara stesen Tuas Link dan stesen Jurong East di mana Green Line bertemu Laluan Utara-Selatan atau Laluan Merah.

Kejadian berlaku ketika Circle Line, lebih dikenali sebagai Laluan Kuning, terjejas akibat kelewatan di mana SMRT menganggapnya sebagai “isyarat rosak” pada kira-kira 6 pagi.

Selepas tiga jam, SMRT melaporkan bahawa kerosakan itu telah diatasi namun tren dan stesen di Circle Line penuh sesak.

Menurut SMRT, bagi mengurangkan kesesakan, perkhidmatan bas percuma telah disediakan untuk Laluan Kuning juga.

Sistem MRT (Mass Rapid Transit) membentuk komponen utama sistem kereta api di Singapura, yang merangkumi seluruh bandar raya.- Bernama