SYDNEY - AUSTRALIA. Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce hari ini mengumumkan bakal meletak jawatan susulan pendedahan hubungan sulit bersama bekas setiausaha medianya.

Joyce, pemimpin parti Nasional yang memimpin bersama Perdana Menteri Malcolm Turnbull dilanda kontroversi sejak dua minggu lalu akibat tindakan mengkhianati perkahwinannya selama 24 tahun dan beliau kini dijangka bakal menjadi bapa hasil hubungan sulit tersebut.

"Saya akan meletak jawatan sebagai ketua Parti Nasional dan timbalan perdana menteri Australia pada Isnin ini," kata Joyce ketika sidang media di Armidale.

"Apa yang terjadi ini tidak adil untuk Vikki (kekasih), untuk anak saya yang belum lahir, anak-anak perempuan saya dan untuk Nat, isteri saya," katanya.

Peletakan jawatan Joyce memberi laluan untuk partinya memilih ketua dan timbalan perdana menteri yang baru.

Joyce, 51 sepatutnya menjadi pemangku perdana menteri minggu ini ketika Perdana Menteri Turnbull bermesyuarat bersama Donald Trump di Washington, namun dia memilih untuk mengambil cuti.

Berhubung tuduhan gangguan seksual yang dibuat terhadapnya, Joyce berkata ia bersifat fitnah dan beliau mahu ia disiasat oleh pihak berkuasa.

Susulan skandal yang melanda Joyce, Turnbull telah mengeluarkan larangan rasmi menghalang hubungan sulit antara anggota kabinet dan pekerja mereka.

Perdana Menteri Australia itu turut enggan menyatakan sokongan terhadap Joyce. - AFP