SEOUL - KOREA SELATAN. Seramai 12 pelajar jurusan muzik klasik di sebuah universiti di sini, didapati dengan sengaja menipu berat badan mereka, bagi mengelak menjalani khidmat ketenteraan.

Menurut Pentadbiran Sumber Manusia Tentera, kesemua pelajar terbabit mengambil serbuk protein dan meminum jus buah yang banyak ketika menghadiri pemeriksaan fizikal.

“Rakan sekelas mereka mencadangkan pelajar terbabit meminum jus buah yang mengandungi isi daun lidah buaya dalam kuantiti yang banyak, kerana ia mampu berada lebih lama di dalam sistem badan berbanding buah-buahan lain,” katanya.

Hasil pemeriksaan fizikal mendapati kesemua 12 pelajar itu memiliki berat badan berlebihan bagi mengikuti khidmat ketenteraan dan kemudiannya diarah bekerja dengan perkhidmatan kerajaan.

Menurut pihak tentera, mereka menggunakan teknologi digital forensik untuk membongkar perkara itu, malah turut memperoleh maklumat menerusi perbualan dalam talian pelajar terbabit.

Kes telah dirujuk kepada pendakwa raya, bagi menentukan tuduhan yang bakal dikenakan terhadap pelajar berkenaan.

“Jika didapati bersalah, mereka perlu mengikuti kembali pemeriksaan fizikal dan mungkin diwajibkan mengikuti khidmat ketenteraan,” kata pihak tentera.

Khidmat ketenteraan diwajibkan ke atas semua lelaki di Korea Selatan sebelum mencecah umur 28 tahun dan ia perlu diikuti sekurang-kurangnya bagi tempoh 21 bulan.

Individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau kurang berat badan, selain disahkan mengidap penyakit atau kurang upaya, adalah dikecualikan dari mengikuti program dan akan diarahkan bertugas di mahkamah atau pustaka awam. - AFP