GORONTALO - INDONESIA. Seorang anggota Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas) yang dikerah ke lokasi bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah terpaksa menerima realiti pahit, apabila isteri yang terlantar sakit meninggal dunia.

Alfrits Rottie sebelum ini menolak untuk bertugas di Palu, namun isterinya, Devita Purnamasari Muhidin meminta beliau untuk menyertai misi berkenaan kerana percaya mangsa gempa tsunami di Sulawesi Tengah lebih memerlukan bantuannya.

Sepanjang empat hari berada di Palu, Alfrits gagal menghubungi isterinya disebabkan isyarat komunikasi yang lemah.

Di Palu, Alfrits sempat menyelamatkan seorang wanita yang tertimbus di bawah sisa runtuhan bangunan.

Manakala misi menyelamat di kawasan Petobo, Alfrits dan pasukannya berjaya menarik keluar seorang mangsa yang terperangkap dalam lubang berlumpur.

Bagaimanapun, pada Sabtu lalu, Alfrits menerima berita bahawa isterinya semakin tenat dan beliau dibenarkan pulang ke Gorontalo.

"Saya tiba di Gorontalo pada pagi Ahad. Namun Tuhan lebih sayangkan isteri saya, dia meninggal dunia menjelang Maghrib," katanya.

Usia perkahwinan Alfrits dan Devita baru mencecah setahun.

Alfrits sebelum ini merancang untuk membawa Devita berbulan madu di Bandung sebaik sahaja penyakitnya sembuh. - Agensi